Kemelut politik melanda seharusnya menjadi titik muhasabah buat umat Islam. Benarlah sabda Rasulullah SAW bahawa perebutan kuasa, cintakan dunia dan pertelagahan dengan pemimpin akan menjadi faktor yang merosakkan umat Islam.

Nasihat ini pernah disampaikan Rasulullah SAW kepada sahabat. Baginda menjelaskan umat Islam suatu hari nanti akan menjadi seperti buih di lautan. Mereka akan diratah oleh umat lain.

Sahabat bertanya:

“ Apakah umat Islam ketika itu sedikit ? ”

Rasulullah menjawab :

“ Tidak .” Bahkan menurut hadis itu, umat Islam ketika itu ramai, cuma mereka seperti buih di lautan. Mereka dihanyutkan ke sana dan ke mari kerana jiwa lemah. Baginda menjelaskan apa yang menjadikan umat Islam lemah adalah kerana terlalu mencintai dunia dan takut mati ( HR at-Thauban, Abu Daud, Ahmad dan Baihaqi ).

Perhatikan di sini bagaimana Rasulullah SAW mendidik kita bahawa gilakan dunia dan kuasa pemerintahan, umat Islam boleh menjadi lemah serta binasa. Melalui hadis tersebut, Rasulullah SAW memberikan amaran apabila umat Islam lemah, Allah SWT akan mencabut rasa takut musuh kepada umat Islam. Ini bererti, ummah akan dipandang rendah dan tidak dihormati.

Jika ditelusuri sejarah umat Islam, kita dapati perebutan kuasa menjadikan mereka sebagai umat berpecah dan lemah. Mereka lupa kuasa pemerintahan ialah amanah seperti diingatkan oleh Rasulullah SAW kepada Saidina Abu Zar. Menurut sebuah hadis, Abu Zar pernah meminta kepada Rasulullah SAW agar diberikan jawatan dalam pemerintahan.

Rasulullah SAW dengan tenang menasihatkan Abu Zar agar jangan meminta -minta kuasa pemerintahan bahkan Rasulullah menegaskan:

“Sesungguh kuasa pemerintahan ini adalah amanah dan ia menjadi kehinaan ( buat mereka yang gagal menunaikannya ) di hari akhirat kelak.” ( HR Muslim ).

Dalam hadis lain, Rasulullah SAW menjelaskan umat terdahulu pernah menjadi binasa disebabkan pertelagahan dengan pemimpin mereka. Mereka terlalu banyak mempersoalkan tindakan pemimpin dan bertelagah dengan pemimpin.

Bagi memastikan perkara ini tidak berlaku dalam kalangan umat Islam, Rasulullah SAW berpesan kepada kita bahawa:

“ Sesungguhnya umat terdahulu daripada kamu binasa atas perbuatan mereka yang banyak mempersoal serta bertelagah dengan pemimpin mereka.” ( HR Muslim )

Menghayati hadis di atas, para pemimpin sepatutnya amat bimbang untuk memegang apatah lagi berebut untuk menjadi pemimpin. Mereka perlu sedar bahawa kuasa pemerintahan adalah amanah besar yang akan menyebabkan ummah terjerumus ke dalam kebinasaan, jika tidak ditangani dengan baik. Namun, terdapat pemimpin yang memang bercita – cita dan berusaha keras dengan apa cara sekalipun untuk mendapat kekuasaan sebagai pemimpin. Sifat gilakan kuasa ini akan merosakkan peribadi seseorang. Sifat gilakan kuasa menyebabkan seseorang terjurus kepada perbuatan hasad dengki, bahkan suka mencari keaiban manusia lain.

Fudail Iyyad, seorang ahli sufi di zaman tabi’i mengingatkan:

“Tiada seorang lelaki yang gilakan kuasa kepemimpinan melainkan dia akan terjebak dengan hasad dan kejahatan, suka mencari keaiban manusia dan benci untuk menyebut kebaikan orang lain.”

Malah Imam Abu Daud al – Sijistani, tokoh hadis terkenal, melihat sifat ini sebagai antara penyakit atau menggelarnya sebagai syahwat tersembunyi. Beliau pernah ditanya mengenai apakah yang dimaksudkan dengan nafsu syahwat yang tersembunyi. Lalu dia berkata: “ ( Mereka yang ) cintakan kuasa. ”

Dalam situasi politik yang tidak menentu dan mencabar seperti hari ini, pemimpin Muslim perlu mementingkan perdamaian dan kesatuan. Kesatuan umat Islam memberikan mereka kelebihan. Bersepakat atas perkara yang memberikan kebaikan buat umat Islam adalah asas paling utama. Janganlah kita hanya mementingkan posisi dan kedudukan sendiri sehingga mengabaikan tanggungjawab yang paling utama bagi seorang pemimpin iaitu memelihara Islam dan Muslim.

Sehubungan itu, orang Melayu dan orang Islam jangan berpecah belah dan elakkan persengketaan. Kita boleh berlainan pendapat dan berselisih pandangan tetapi itu tidak boleh dijadikan sebagai asas untuk kita berpecah belah kerana jika kita berpecah belah, kita akan menjadi lemah. Jangan terpedaya, terlena dan asyik mendengar kata – kata sesetengah pemimpin yang hendak memecah – belahkan kita. Yang penting pada kita ialah mesti bersatu – padu. Jangan berpecah – belah disebabkan politik, kerana jika berlaku, bangsa Melayu akan ketinggalan berbanding kaum lain.

Orang Melayu kini berpecah belah kerana berebut kuasa dan jawatan. Ini merupakan satu penyakit yang menimpa umat Islam sebelum ini. Oleh itu, berhati – hatilah dengan mereka yang terkena penyakit ini. Kecintaan terhadap kuasa akan mengaburi mereka dari kebaikan. Adalah dibimbangi kepentingan diri sendiri lebih mereka utamakan dari kesusahan rakyat. Pemimpin seperti ini hendaklah kita tolak kerana ia bukan sahaja menyebabkan umat Islam berpecah malah ia akan membenarkan musuh – musuh Islam mengambil kesempatan untuk menguasai kita.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here