Sedih, sungguh sedih dengan keadaan politik negara yang tidak pernah hentinya bersengketa. Jangankan perbalahan berlainan kaum, sesama kaum di dalam satu parti politik pun tidak kurang sengitnya. Di mana letaknya sebuah perpaduan kalau sudah masing-masing dibayangi kuasa dan pangkat? Ini bukan sahaja tertumpu kepada pemimpin, malahan penyokong dan rakyat juga ikut sama campur tangan. Ada di antara mereka yang sengaja mereka-reka cerita untuk menghangatkan lagi suasana.

Sebagai rakyat, adakah ini yang kita mahukan? Sepatutnya kita meminta keselamatan dan keamanan dijaga dengan sewajarnya. Bukan ikut campur tangan dan menyebarkan berita-berita palsu dan mengeruhkan lagi keadaan. Para pemimpin kita sedaya upaya untuk membentuk perpaduan yang harmoni di kalangan masyarakat negara ini, mengapa kita mesti merosakkannya? Jika para pemimpin tidak ambil peduli, kita marah. Bila pemimpin sehabis daya meredakan keadaan, kita pula merosakkannya!

Firman Allah SWT:

Orang-orang beriman itu Sesungguhnya bersaudara, sebab itu damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua saudaramu itu dan takutlah terhadap Allah, supaya kamu mendapat rahmat.” (QS al – Hujurat: 10)

Sebagai umat Islam, kita wajib menyokong apa jua usaha yang dilakukan oleh para pemimpin untuk menyatupadukan ummah atas dasar akidah dan wajib mendahulukan sangkaan baik kepada perpaduan ini. Janganlah meletakkan andaian atau terlajak berani memberikan andaian atau tuduhan buruk sedangkan hati umat Islam hanya mampu dijinakkan oleh Allah SWT. Hentikan perbalahan dan buruk sangka antara kita demi menjayakan agenda perpaduan ummah sesama kita.

Ingatlah, kita sudah semakin dekat dengan akhir zaman dan sepatutnya kita bersatu untuk kebangkitan Islam di penghujungnya. Berikanlah sokongan kepada usaha-usaha penyatuan ummah ini tanpa ada rasa sangsi dan buruk sangka. Sememangnya musuh-musuh Islam sentiasa menantikan saat untuk kita berpecah belah.

Kepada pihak yang terbabit dalam perpaduan ummah ini khususnya para pemimpin Islam, gunakanlah peluang ini sebaik mungkin dalam memastikan umat Islam terus bersatu. Mungkin ini peluang terakhir yang Allah SWT tawarkan kepada anda semua. Jangan khianati Allah SWT, Rasulullah SAW dan para umat Islam. Firman Allah SWT:

“Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai..” (QS Ali ‘Imran: 103)

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here