Trend sebaran berita palsu di kalangan rakyat Malaysia pada hari ini dilihat semakin hari semakin membimbangkan. Ini ditambah lagi dengan pelbagai kemudahan aplikasi di laman sosial yang membolehkan mereka menyebarkan berita palsu tanpa sebarang had dan sekatan. Sebagai contoh, kes seorang lelaki yang mengkritik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang di laman Facebook sewaktu operasi dan menyelamat (SAR) ke atas kemalangan kereta utiliti sukan (SUV) di Jambatan Pulau Pinang pada 21 Januari lalu.

Walaupun lelaki tersebut telah membuat permohonan maaf secara terbuka kepada para anggota bomba di Ibu Pejabat JBPM Jalan Perak, Pulau Pinang dan di laman Facebooknya, beliau tetap disiasat dan tindakan akan diambil mengikut Seksyen 5 Akta Perkhidmatan Bomba 1988 (Akta 341). Mengapa perkara ini terjadi bahkan semakin kerap? Jawapannya cukup mudah. Boleh dikatakan sebahagian besar rakyat di negara ini mempunyai sifat malas membaca. Jadi, apa yang disebarkan di laman sosial diterima sebulat-bulatnya tanpa membuat sebarang rujukan dari sumber-sumber lain.

Perbuatan mengkritik penjawat awam dalam melakukan tugas bakal dikenakan tindakan

Selain itu, penyebaran berita palsu ini juga didorong oleh faktor populariti. Hal ini jelas dilihat di laman Facebook apabila wujudnya page-page yang digunakan menyebarkan berita palsu sebagai salah satu bentuk hiburan kepada sesetengah pihak. Sikap sukakan bahan-bahan troll seperti mengejek, menyindir parti politik atau pemimpin yang tidak disukai mereka menyebabkan sesebuah berita palsu itu menjadi popular dan seterusnya menaikkan ‘rating’ page tersebut.

Sekiranya trend ini berterusan tanpa sebarang had dan sekatan, ia akan menjadi ‘barah’ kekal dalam negara dan sekaligus menyebabkan timbulnya beberapa kesan negatif. Antara kesan negatif yang boleh dilihat dari segi politik adalah kejatuhan kuasa pemerintah sesebuah negara. Ini dapat disaksikan dengan berlakunya kebangkitan ‘Arab Spring’. Bukan itu sahaja, trend ini juga turut memberi impak yang mendalam terhadap ekonomi negara apabila pelabur-pelabur asing mula melihat ketidakupayaan negara tersebut hingga menyebabkan ekonomi negara itu menjadi lembap dan tidak mampan.

Lebih memburuk lagi, trend penyebaran berita palsu ini juga akan menyebabkan berlakunya perpecahan kaum dan keruntuhan akhlak serta moral masyarakat sesebuah negara. Ini kerana sensitiviti peradaban tidak lagi menjadi keutamaan manusia zaman millennium masa kini. Mereka lebih cenderung untuk membuat onar dan melakukan perpecahan daripada berdamai serta menjalinkan ukhwah kemasyarakatan.

Sudah tiba masanya Kerajaan Malaysia meneliti semula kerelevenan Akta Antiberita Tidak Benar 2018 untuk digunapakai pada masa kini

Kini, sudah tiba masanya kerajaan Malaysia melakukan satu inisiatif bagi membendung trend ini dari terus merebak hingga menjadi ‘wabak’ ke seluruh negara. Mungkin pihak kerajaan boleh meneliti semula Akta Antiberita Tidak Benar 2018 yang dimansuhkan pada 16 Ogos 2018. Dalam hal ini, Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) sepatutnya memainkan peranan dalam membendung isu ini dengan menguatkuasakan kembali akta tersebut atau meminda akta baharu yang lebih ketat dan telus.

Di samping itu, KKMM disarankan untuk melakukan satu usahasama di antara stesen-stesen radio dan televisyen di negara ini dalam memperbanyakkan program serta iklan-iklan kesedaran kepada masyarakat di negara ini. Ia penting dalam memberi maklumat yang tepat tentang bahana penyebaran berita palsu dan kesannya terhadap negara.

Justeru, rakyat Malaysia dinasihatkan untuk menjadi lebih pintar dalam menangani penyebaran berita palsu yang terdapat di kebanyakan laman sosial masa kini. Ini perlu dalam menangkis perasaan mudah terperdaya dan seterusnya menggalakkan rakyat negara ini melakukan lebih banyak rujukan dan tidak bergantung kepada satu sumber sahaja. Media sosial memang suatu perkara yang amat menyeronokkan, akan tetapi ia juga boleh menjadi ‘parasit’ yang menghancurkan kedaulatan serta keharmonian sesebuah negara.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here