Berita kemasukan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ke Sabah telah menjadi perbualan hangat di kalangan rakyat Sabah, baik di kedai kopi mahupun di media alternatif. Tentu sekali akan membawa pelbagai reaksi pro dan kontra sebaik sahaja Bersatu memilih untuk ke Negeri Di Bawah Bayu. Oleh itu, jika isu ini tidak ditangani dengan baik ia akan membawa impak politik yang tidak sihat khususnya di negeri Sabah.

Ternyata, keputusan Bersatu ke Sabah telah mengundang pelbagai reaksi dari penduduknya sehingga ke ahli politik Sabah. Tidak ketinggalan juga Pengerusi PKR Sabah Datuk Christina Liew yang nyata terkejut dengan keputusan Bersatu untuk mengembangkan sayapnya ke negeri itu. Beliau nyata berasa tidak berpuas hati kerana pada PRU-14 lepas, Bersatu telah memutuskan untuk tidak datang ke Sabah atas dasar tidak campur tangan dan sebulat suara untuk membenarkan Warisan bersama PKR dan DAP memperjuangkan isu politik di Sabah.

Walau bagaimanapun, Tun Dr Mahathir telah memberi jaminan dan menyatakan bahawa Bersatu bersetuju untuk menubuhkan cawangannya di Sabah atas alasan untuk membolehkan bekas-bekas anggota UMNO Sabah menyertai mereka. Menurut beliau keputusan itu dibuat selepas terdapat beberapa anggota UMNO Sabah yang bertindak keluar parti dan tidak mahu menyertai parti Warisan yang turut merupakan sekutu Pakatan Harapan.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap isu Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk bertapak ke Sabah melalui proses rundingan dengan Parti Warisan Sabah (Warisan).

Berdasarkan kepada senario politik semasa yang berlaku di Sabah ini, banyak persoalan-persoalan yang timbul dan antara yang menimbulkan tanda tanya adalah adakah kehadiran Bersatu akan menguntungkan parti Warisan? Andai kata Bersatu ke Sabah, sudah tentu pecahan 25 kerusi Parlimen di Sabah akan berubah serta merta. Buat masa ini, Warisan mempunyai 8 kerusi Parlimen iaitu Semporna, Kalabakan, Silam, Batu Sapi, Kota Belud, Sepanggar, Penampang dan Papar. Manakala DAP 3 kerusi, PKR 3 kerusi , UPKO 1 kerusi, PBS 1 kerusi, STAR 1 kerusi, PBRS 1 kerusi dan Bebas 1 kerusi. UMNO pula mempunyai 1 kerusi dan bekas UMNO yang keluar parti 5 kerusi.

Jika dilihat kepada pecahan ini, Bersatu akan memperolehi 5 kerusi di Sabah iaitu kedua tertinggi di belakang Warisan dan melebihi kerusi-kerusi parti Pakatan Harapan yang lain. Jelas sekali di sini, ianya tidak mendapatkan sebarang ancaman kepada parti Warisan sebaliknya parti seperti DAP dan PKR sudah pasti menerima tempias daripada perubahan yang bakal berlaku nanti. Untuk mengelak dari terjejasnya peluang Warisan, mereka wajar meletakkan syarat kepada PPBM terlebih dulu umpamanya supaya tidak menghalang aspirasi tuntutan hak rakyat Sabah dan menetapkan kerusi, baik di peringkat parlimen dan dewan negeri ia mesti didominasi oleh Warisan sebagai tuan rumah.

Oleh yang demikian, pelbagai reaksi telah diperolehi mengenai isu ini khususnya daripada rakyat Sabah. Jelas mereka tidak senang sekali dengan berita ini kerana bimbang segala hak-hak orang Sabah akan dicabuli. Mereka beranggapan bahawa jika Bersatu ke Sabah, maka mereka akan mengambil alih segala hasil-hasil negeri di Sabah dan melabelkan mereka sebagai pendatang.

Tidak ketinggalan juga ada segelintir pihak yang menyuarakan rasa tidak puas hati berkenaan isu ini seperti Ketua Wirawati Tenom, Rafidah Arkani. Beliau jelas sekali tidak gemar dengan tindakan campur tangan daripada parti-parti luar di dalam dunia politik negeri Sabah.

Di harapkan Shafie Apdal mampu untuk menangani isu ini dengan baik.

Apa yang kita dapat nilai dan simpulkan di sini dari sudut perspektif politik Sabah adalah besar kemungkinan akan berlaku sedikit pergolakan dalaman antara mereka sendiri di dalam Pakatan Harapan. Ini kerana situasi ini seolah memperlihatkan parti dalam PH sedang berlumba-lumba untuk mendapat pengaruh yang lebih banyak di dalam pakatan ini bagi melebarkan pengaruhnya.

Oleh itu, keadaan sebegini sebenarnya adalah sangat tidak sihat untuk dilakukan dan sebagai sebuah kerajaan baru mereka sepatutnya lebih memberi fokus kepada kebajikan rakyat berbanding sibuk untuk mencari pengaruh. Rakyat pada ketika ini sangat memerlukan khidmat dari kerajaan untuk membantu mereka dan sangat berharap agar kerajaan mampu untuk membela nasib rakyat di seluruh negara ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here