Bila berbicara soal perpaduan, Malaysia merupakan salah sebuah negara yang boleh dijadikan contoh terbaik bagi negara-negara dunia. Ini kerana perpaduan dari segenap lapisan masyarakat di negara ini yang utuh dan padu menjadikan Malaysia sebuah negara yang selamat. Maka, tidak hairanlah sekiranya negara ini menjadi tarikan para pelancong dan pelabur asing sebagai sebuah destinasi buat mereka untuk bercuti dan membina empayar perniagaan.

Namun, itu semua hanyalah kenangan manis silam semasa Malaysia mencapai kegemilangannya 20, 30 tahun yang lalu. Hari ini, perpaduan kaum di Malaysia kelihatan seakan ‘longgar’ apabila tiada lagi keutuhan hubungan perpaduan setelah sekian lama terbina. Masing-masing hanya membawa haluan sendiri tanpa memikirkan lagi cara bagaimana mahu memperbaiki semula perpaduan tersebut, ibarat kata “kau hal kau, aku hal aku”.

Keutuhan perpaduan kaum di Malaysia menjadi contoh terbaik kepada dunia

Mengapa keutuhan perpaduan kaum itu sangat penting bagi sesebuah negara? Jawapannya cukup mudah, untuk mengekalkan kestabilan politik dan menjamin keamanan bagi negara tersebut. Di Malaysia, hal ini amat perlu bagi menjamin keutuhan struktur pentadbiran Malaysia selain memelihara hubungan antara semua kaum di negara ini.

Apabila perpaduan kaum sebuah negara dijaga dan dipelihara dengan rapi, secara tidak langsung kita akan dapat melihat impak positifnya kepada negara di mana Malaysia dapat melebarkan ruang lingkup jalinan persahabatan dan perdagangan bagi mencakupi arena global. Sebagai contoh, kestabilan politik di Johor telah memberikan keyakinan yang penuh terhadap para pelabur asing untuk melakukan pelaburan mereka terhadap pembangunan Wilayah Pembangunan Iskandar.

Walau bagaimanapun, untuk mengekalkan perpaduan di negara ini bukanlah seindah seperti yang disangka. Banyak cabaran dan dugaan yang terpaksa dilalui oleh kerajaan demi memastikan kestabilan negara berada pada tahap yang selamat. Antara cabaran yang dilalui adalah sudah semestinya terarah kepada pengekalan perpaduan rakyat itu sendiri. Hal ini kerana di zaman teknologi canggih dan manusia bergantung harap pada kecanggihan tersebut, pelbagai propaganda boleh sahaja disebarkan dan meresap ke dalam pemikiran rakyat. Ini secara tidak langsung akan menjejaskan hubungan kesemua kaum di negara ini.

Media sosial antara faktor utama perpecahan perpaduan kaum

Selain itu, cabaran lain yang dihadapi oleh kerajaan adalah dalam mengekalkan keselamatan negara. Hal ini kerana pelbagai ancaman yang diterima termasuk para ekstrimis dan peyimpang agama. Kelompok ini menjadi ancaman kepada negara kerana tindak-tanduk mereka yang sanggup melakukan sesuatu di luar batas kemanusiaan demi mencapai matlamat masing-masing dan ini termasuklah menghancurkan institusi perpaduan kaum di negara ini.

Perpaduan kaum di Malaysia amatlah unik hingga ada segelintir pemimpin dunia yang menjadikan negara ini sebagai suri teladan untuk membentuk perpaduan rakyat mereka seterusnya mencetuskan keharmonian negara. Oleh itu, bagi mengekalkan perpaduan tersebut, pelbagai langkah perlu diambil oleh semua pihak demi menjaga keharmonian hubungan ini.

Antara langkah yang boleh diambil adalah dengan meningkatkan semangat kekitaan dalam diri setiap rakyat. Ini amat penting dalam memupuk amalan bertolak ansur serta sikap toleransi antara masyarakat. Selain itu, sifat berdisiplin dan bersatu-padu juga amat penting dalam memupuk perpaduan kaum. Hal ini kerana kedua-duanya amat penting dalam mendidik masyarakat agar mewujudkan keharmonian dan semangat berjuang untuk negara, bukannya untuk bangsa atau kaum sendiri.

Justeru, kerjasama semua pihak amatlah diharapkan bagi menjaga keutuhan perpaduan kaum di negara ini. Ia penting dalam memastikan Malaysia sentiasa menjadi negara contoh yang terbaik dan dihormati di serata dunia. Ibarat kata pepatah “bersatu kita teguh, bercerai kita roboh”.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here