Bersatu, apa yang kita faham tentang bersatu? Bersatu itu satu pakatan yang dieratkan dengan persefahaman yang jitu. Begitu jugalah halnya dengan dengan sebuah organisasi kepimpinan negara di mana semua pihak wajib bersatu-padu demi memastikan negara aman dan harmoni. Siapa yang patut dipertanggungjawabkan untuk menyatukan semua masyarakat di negara ini? Para pemimpin. Tapi malang sekali, tidak semuanya mahu menyatukan masyarakat dalam satu ikatan yang dinamakan perpaduan. Mereka lebih memilih untuk hidup secara berkelompok yang sekepala dengan mereka sahaja.

Sabda Rasulullah SAW:

“Wahai sekalian manusia, sebarkanlah salam, jalinlah hubungan silaturrahim, sholatlah di waktu malam tatkala orang-orang masih tidur, pasti kamu semua masuk syurga dengan selamat dan sejahtera.” (HR Tirmidzi: 2409)

Dalam hal ini, sudah menjadi tanggungjawab para pemimpin Islam untuk saling bermuafakat dan mengeratkan silaturahim di antara pengikutnya sesama Muslim. Mengapa perlu ada perbalahan jika perjuangan di antara satu kelompok dengan kelompok kepimpinan yang lain berpaksikan pada satu kiblat yang sama, iaitu agama Islam?

Kita ambil contoh terhadap isu kontroversi yang melanda negara baru-baru ini iaitu penggunaan kalimah Allah terhadap orang bukan Islam. Mengapa tidak diadakan satu permuafakatan di antara parti politik Islam dan NGO Islam mengenai hal ini?

Bukankah Islam itu satu? Mengapa perlu dibeza-bezakan perjuangan tersebut? Kerana adanya ‘conflict interest’ dan keinginan para pemimpin untuk menunjukkan siapa yang ‘hero’!

Wahai para pemimpin Islam, bersatulah! Bersatulah demi menegakkan Islam yang syumul ini. Janganlah simpan perasaan ego hanya kerana ketamakan kuasa dan harta. Bersatulah wahai umat Islam dan jangan berpecah belah hanya disebabkan perbalahan dan perselisihan politik yang merugikan.

Ketahuilah bahawa perbalahan dan perselisihan faham politik yang berlarutan akan mengakibatkan lebih banyak kerosakan di dalam penyatuan ummah ini dan akan menghilangkan kekuatan umat Islam itu sendiri. Perpecahan dan perbalahan akibat fahaman politik menyebabkan umat Islam mudah dicatur dan dihancurkan oleh musuh yang mahu menjayakan agenda jahat mereka.

Ingatlah bahawa Islam itu bersaudara dan menyayangi sesama Muslim itu adalah syarat untuk menjadi seorang yang benar imannya.

Sabda Rasulullah SAW:

“Tidak ada seorang pun di antara kalian dipandang beriman sebelum ia menyayangi saudaranya sesama Muslim seperti halnya ia menyayangi dirinya sendiri.” (HR Bukhari).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here