Umat Islam perlu bersatu dan jangan membenarkan perbezaan politik memecah – belahkan hubungan sehingga membawa kepada permusuhan sesama sendiri. Kekuatan ukhuwah Islamiah dan perpaduan perlu dipertahankan oleh seluruh umat Islam. Kita jangan berpecah belah disebabkan politik, merosakkan hubungan dalam kalangan ummah sehingga bermusuhan sesama sendiri. Jika ada sebarang salah faham atau perselisihan hendaklah diselesaikan secara baik dan berhemah, tidak ikut melawan dengan kekerasan. Kita umat Islam diajar supaya bersatu dengan tali Allah ( Islam ) dan saling tolong menolong atas premis kebaikan dan taqwa bukan atas premis dosa dan permusuhan. Berpeganglah kepada kitab Allah dan Sunah Nabi SAW. Perkara ini telah diperintahkan sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud:

“Dan berpegangteguhlah kamu pada tali Allah ( Islam ), jangan berpecah – belah, dan ingatlah ketika kamu berada di jurang api neraka ( disebabkan perpecahan ), maka Allah menyelamatkan kamu dengan nikmat persaudaraan. Demikian Allah menerangkan pada kamu ayat – ayatNya, mudah – mudahan kamu beroleh petunjuk.” ( QS Ali Imran:103 ).

Semua pihak termasuk golongan politik diseru untuk kembali ke landasan yang betul supaya kita bersatupadu dalam menghadapi musuh sebenar kita iaitu penindasan dan fitnah terhadap umat Islam. Percayalah, politik yang keterlaluan akan membawa bala kehancuran kepada umat Islam dan negara kita. Umat Islam yang berpecah – belah akan mudah dikalahkan oleh musuh mereka. Rasulullah SAW bersabda maksudnya:

“Janganlah kamu berselisih faham, kerana orang terdahulu telah binasa disebabkan berselisih faham.” ( HR Ahmad ).

Sampai bila Melayu mesti bercakaran ? Bagaimana bangsa Melayu nak maju dan hebat jika asyik bercakaran dan bertelingkah sesama sendiri. Bayangkan betapa banyak masa kita habiskan untuk persengketaan yang tidak membawa kebaikan kepada umat Islam.

Masing – masing enggan mengaku kalah dan bertolak ansur. Saling tuding menuding jari antara satu sama lain sementara musuh – musuh Islam tentu sahaja tersenyum lebar melihat persengketaan yang kelihatan seperti tiada tepinya ini. Musuh tentunya galak menyuburkan benih persengketaan dan menyalakan api permusuhan sesama kita umat Melayu Islam. Musuh Islam sanggup bersusah payah berusaha menggunakan pelbagai pendekatan bagi menggagalkan sebarang usaha kerjasama di antara pimpinan Melayu. Bahkan mereka menggunakan pemimpin Melayu sendiri untuk memecah belahkan umat Islam di negara ini.

Inilah sebenarnya kerja musuh – musuh Allah yang dari dahulu lagi tidak inginkan syiar Islam berkembang di Malaysia. Mereka ini dengan secara senyap telah melemah serta memecah – belahkan kita sesama orang Melayu bagi memudahkan kerja – kerja survival politik licik mereka. Mereka ini sebenarnya lebih bahaya dari bangsa Yahudi yang kita benci hanya dari jauh. Sebaliknya golongan ini ada di mana – mana, cuma kita yang sengaja bua t-buat tidak perasan akan kehadiran mereka. Mereka ini akan bertambah gembira bila kuasa politik orang – orang Melayu akhirnya jatuh juga ketangan mereka.

Namun kita lihat sebahagian pemimpin Melayu Islam, demi politik sempit dan kepentingan peribadi untuk merebut kekuasaan, ada yang sanggup memenuhi tuntutan kerjasama politik dengan musuh – musuh Islam. Malah, mereka ini sanggup pula mendekati gereja – gereja serta sampai ke satu tahap yang tidak boleh diterima akal, bersama – sama berdoa menggunakan lilin dengan orang – orang yang bukan beragama Islam. Perbuatan yang menyedihkan ini, amat nyata tersasar dari amalan orang Islam sebenarnya. Oleh itu, jangan terpedaya dengan individu – individu tertentu yang menjadi tali barut musuh untuk memecah belahkan perpaduan dalam kalangan umat Islam.

Kembalilah kepada ajaran Islam dan perintah – perintah Allah supaya kita jangan berpecah, saling menghormati, saling bertolong bantu dan saling berkasih sayang meskipun berbeza fahaman politik dan kepartian.

Rasulullah SAW bersabda:
“Perumpamaan golongan yang beriman pada sifat berkasih sayang, saling merahmati, dan saling membantu adalah seperti suatu badan. Apabila ada anggota badan yang sakit, ia menyebabkan keseluruhan tubuh badan tidak dapat tidur dan juga menjadi demam.” (HR al – Bukhari, Muslim, al – Tirmizi, al – Nasa’ie dan Imam Ahmad).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here