Usul pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi menurunkan had umur layak mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun telah dipersetujui oleh Kabinet dan dibentangkan di Dewan Rakyat.

Sekiranya usul ini diluluskan di Dewan Rakyat, secara kasarnya ia akan memberi pertambahan kira-kira 20 peratus atau 3.7 juta pengundi baharu di negara ini.

Walau bagaimanapun, sudah pastinya perkara dibangkitkan adalah adakah umur 18 tahun itu sudah dikira matang untuk membuat keputusan terutamanya melibatkan hala tuju dan masa depan negara.

Mungkin ramai yang berpendapat langkah kerajaan menurunkan had umur tidak relevan bagi golongan muda masa kini kerana melihat trend ketagihan anak muda dengan media sosial juga aplikasi seperti TikTok, WeChat dan sebagainya sehingga dijadikan kayu ukur daya intelek anak muda.

Namun, tidak boleh dinafikan bahawa golongan muda masa kini mudah matang kerana terdedah dengan keadaaan politik semasa. Tambahan lagi, dengan kecanggihan alat elektronik dan persekitaran moden mampu mempengaruhi pemikiran golongan muda sekaligus menjadikan mereka kumpulan sasaran yang matang berfikir dan lebih bermaklumat.

Undi 18 tahun memberi ruang kepada generasi muda menentukan hala tuju dan masa depan negara

Pada masa kini, golongan muda dilihat sebagai golongan yang bermaklumat dan mampu membuat keputusan yang bijak mengenai kepentingan masa depan negara. Selain itu, dengan adanya penglibatan golongan muda, ia dapat melahirkan sudut pandangan yang lebih segar mengenai senario politik dalam negara.

Bukan itu sahaja, dengan menurunkan had umur mengundi kepada umur 18 tahun ini mampu memperkukuhkan peranan dan tanggungjawab belia di Malaysia. Malah, apabila terdedah dengan senario politik negara mereka akan menjadi lebih matang dan pada masa yang sama, dapat menyediakan generasi pelapis yang akan menggantikan kepemimpinan negara satu hari nanti.

Apabila berbicara mengenai soal menurunkan had umur mengundi, ramai yang mempersoalkan kematangan remaja. Namun, pada umur 18 tahun mereka layak pula untuk memasuki atau membuat apa-apa kontrak, menanggung liabiliti jenayah dan dibicarakan di mahkamah sama seperti orang dewasa, layak membuat permohonan lesen memandu, memohon pinjaman kewangan serta sudah layak untuk berkahwin.

Jadi, tidak mustahil sekiranya hak mengundi turut sama diberi kepada anak muda yang berumur 18 tahun sepertimana yang diberi kepada individu lain kerana mereka juga perlu diberi peluang untuk menyuarakan pendapat.

Undi 18 tahun angkat inspirasi anak muda dalam sistem demokrasi

Walau bagaimanapun, jika had umur mengundi diturunkan kepada 18 tahun, bagaimana pula jika golongan muda ini terbabit dengan perhimpunan aman? Hal ini kerana dalam Akta Perhimpunan Aman 2012, hanya seseorang yang berada di bawah umur 21 tahun dibenarkan untuk menyertai perhimpunan aman. Adakah ia juga perlu dipinda bagi membolehkan golongan remaja terlibat dalam perhimpunan aman? Justeru itu, kekakangan-kekangan ini juga perlu diambil kira sebelum melakukan cadangan ini.

Sebagai konklusinya, tidak dapat dinafikan bahawa cadangan menurunkan had umur pengundi ini merupakan satu langkah yang baik dan secara tidak langsung golongan muda ini akan menjadi game changer dalam arena politik negara. Sudah sampai masanya kerajaan dan rakyat Malaysia melakukan pembaharuan berani untuk menyuburkan sifat demokrasi negara.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here