Malaysia baru sahaja menyambut hari kemerdekaan yang ke-62 tahun pada 31 Ogos pada sabtu yang lalu dengan tema Sayangi Malaysiaku, Malaysia Bersih. Masyarakat sering mengaitkan perkataan ‘merdeka’ itu dengan ‘bebas’. Bebas daripada cengkaman penjajah, bebas melontarkan pandangan, bebas rasuah dan sebagainya.

Tema hari kemerdekaan negara kita pada tahun ini

Namun, bagaimana pula dengan aspek ‘bebas kekotoran’? Adakah warga Malaysia yang sudah merasai kemanisan meraikan kemerdekaan selama 62 tahun telah mencapai mentaliti kelas pertama apabila menyentuh soal kebersihan?

Jika diamati usaha kerajaan dalam memupuk serta membudayakan amalan bersih, kita dapat menilai komitmen kerajaan dalam membudayakan semangat cintakan alam sekitar, antaranya menerusi pewartaan tempat makan sebagai kawasan larangan merokok dan pelan tindakan ke arah sifar penggunaan plastik.

Selain itu, masihkah anda ingat tentang teguran Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang telah melahirkan rasa malunya dengan keadaan tandas awam di negara ini yang kotor dan busuk serta memberi cerminan masyarakat Malaysia tidak mempunyai tanggungjawab sivik?

Walaupun kita akui bahawa teguran itu amat pahit untuk kita telan, tetapi sememangnya itu adalah hakikatnya tentang keadaan negara kita. Sebagai rakyat Malaysia kita perlu mengambil teguran itu sebagai satu titik permulaan untuk kita lebih menghayati dan menghargai erti kebersihan di dalam hidup kita.

Menyentuh mengenai tahap mentaliti rakyat Malaysia dari aspek kebersihan alam sekitar, kelihatan kita masih jauh ketinggalan untuk menjadi golongan mentaliti kelas pertama meskipun sudah 62 tahun kita merdeka.

Hari kemerdekaan disambut untuk mendidik rasa cinta kepada negara

Cabaran utama yang perlu ditempuhi untuk memastikan negara Malaysia menjadi sebuah negara bersih adalah kita perlu bersaing dengan mentaliti rakyat Malaysia sendiri yang pada masa ini masih berada di tahap yang lemah.  Sekiranya perkara ini tidak dapat diubah dan masih kekal di tahap yang sama sudah tentu rakyat tidak dapat menghayati tema hari kemerdekaan kita pada tahun ini.

Justeru itu, sememangnya masyarakat Malaysia perlu dipupuk ke arah ‘bebas sampah’ kerana tiada gunanya kemajuan sesebuah negara andai rakyatnya mempunyai tahap kesedaran rendah dalam menjaga kebersihan alam sekitar. Kesimpulannya, tema hari kemerdekaan tahun ini sangat tepat dengan keadaan semasa di dalam dan luar negara. Kepada rakyat Malaysia, diucapkan, “Sayangi Malaysiaku; Malaysia Bersih”.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here