Restoran 24 jam atau restoran mamak adalah tempat makan paling popular di Malaysia. Restoran mamak lengkap dengan pelbagai menu makanan, harga yang berpatutan dan mudah didapati di mana-mana tempat. Walau bagaimanapun, kita seharusnya sedar bahawa tahap kebersihan restoran mamak berada di tahap yang tidak memuaskan.

Kebanyakan restoran mamak ini beroperasi 24 jam sehari sehingga menyukarkan mereka untuk mengekalkan isu kebersihan memandangkan pengunjung sentiasa berada dalam restoran. Malah terdapat sikap segelintir pengusaha yang menipu pelanggan dengan hanya menjaga kebersihan di ruang makan tetapi tidak pada dapur dan tandas amat mengecewakan semua pihak.

Bahagian dapur di restoran mamak sangat kotor

Baru-baru ini, sebuah restoran mamak di Batu 6, Teluk Kemang, Port Dickson diarahkan tutup selama 14 hari selepas didapati kotor mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983. Ini berikutan satu video yang berdurasi 3.16 minit telah tular dalam laman sosial menunjukkan seorang pelanggan tidak berpuas hati selepas ayam goreng yang dimakannya didakwa mengandungi ulat. Pengarah Kesihatan Negeri Sembilan, Datuk Dr Zainuddin Mohd Ali berkata, hasil pemeriksaan yang dilakukan di restoran tersebut didapati telah melanggar akta Peraturan-Peraturan Kesihatan Malaysia (PPKM) 2009.

Selain itu, empat notis turut dikeluarkan kepada restoran tersebut di bawah PPKM 2009. Premis yang diarahkan tutup ini kebiasaannya mempunyai lebih daripada satu kesalahan dan tahap kebersihan yang sangat rendah serta perlu diambil tindakan dengan segera.

Justeru, terdapat beberapa aspek yang perlu diambil kira bagi memastikan kebersihan restoran mamak berada pada tahap yang baik antaranya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang betul semasa penyediaan makanan. Pengusaha dan pengendali restoran mamak seharusnya mematuhi SOP. Sebagai contoh penggunaan papan pemotong untuk memotong daging mentah yang digunakan untuk memotong sayur-sayuran tanpa dibasuh terlebih dahulu dengan sabun dan dibilas air bersih sering kali terdedah kepada bakteria serta kuman.

Selain itu, semua pekerja restoran mamak perlulah menjaga kebersihan diri ketika menyediakan makanan. Sebagai contoh, mereka perlulah mencuci tangan dengan sabun serta air yang bersih selepas memegang bahan mentah dan menggunakan tandas. Ini bagi memastikan tangan mereka bebas dari sebarang kekotoran dan mengelakkan berlakunya pencemaran. Di samping itu, kebersihan bangunan perlu diutamakan bagi memastikan ia sentiasa berada dalam keadaan bersih dan selamat. Pekerja di restoran mamak dinasihatkan supaya mencuci lantai, meja dan kerusi dua kali sehari pada waktu jumlah pelanggan yang sedikit serta pembersihan keseluruhan premis sebulan sekali.

Pihak berkuasa mengambil tindakan ke atas restoran mamak yang melanggar peraturan

Sehubungan dengan itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sewajarnya bekerjasama dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam menjalankan pemeriksaan premis makanan bagi memastikan kebersihan dan keselamatan makanan terjamin. Mereka seharusnya mengenakan denda yang tinggi dan sebatan bagi mana-mana pengusaha restoran yang melanggar peraturan. Selain itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) juga turut melaksanakan operasi serbuan secara bersepadu bagi melakukan pemeriksaan ke atas premis restoran khususnya restoran mamak.

Oleh itu, semua pihak perlulah bekerjasama membantu kerajaan bagi menangani masalah ini. Masyarakat juga seharusnya mempunyai sikap sensitif terhadap kebersihan makanan di restoran mamak. Jangan pandang remeh akan kepentingan keselamatan makanan kerana tahap kesihatan kita sama ada untuk jangka masa panjang atau pendek sangat berkait rapat dengan apa yang dimakan setiap hari.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here