Tahun 2019 mungkin bukan tahun yang memberi ‘ong’ kepada penduduk Johor terutamanya sekitar Pasir Gudang. Mahu tidaknya, tahun ini sahaja terdapat dua kes berkenaan pencemaran alam sekitar yang dilaporkan berlaku di daerah sana.

Pada Mac 2019, beratus-ratus penduduk terpaksa dikejarkan ke hospital apabila mengalami simptom pening kepala muntah dan mual akibat pencemaran udara yang dipercayai bermula daripada pembuangan sisa kimia di Sungai Kim Kim.

Terbaru yang berlaku di Pasir Gudang pada Jun 2019. Kali ini melibatkan pencemaran udara yang dipercayai berpunca daripada ‘gas ganjil’. Walaupun Timbalan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Isnaraissah Munirah Majilis menjelaskan ianya langsung tiada kaitan dengan insiden Sungai Kim Kim, namun kesan yang perlu dirasai oleh penduduk Pasir Gudang masih sama.

Dua kejadian dilaporkan berlaku dalam tempoh tiga bulan di daerah yang sama. Sudah pasti menimbulkan kemarahan penduduk sekitar Pasir Gudang. Kerajaan perlu menyemak semula Akta Perlindungan Alam Sekitar yang dikatakan agak lompang dan kurang relevan. Kalau tiada kelompangan, mengapa insiden seperti ini berulang semula?

Pencemaran di Pasir Gudang menjejaskan sistem persekolahan

Sebenarnya ada kelompangan yang perlu diperbaiki. Semasa insiden Sungai Kim Kim berlaku, Jabatan Alam Sekitar (JAS) mendedahkan pihak mereka tiada bidang kuasa termasuk menyiasat atau mencerap kehadiran gas kimia berbahaya di persekitaran Pasir Gudang.

Pengukuran parameter termasuk gas kimia seperti acrolein tidak terdapat dalam Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014. Akibatnya, ia merencatkan penguatkuasaan serta tindakan susulan yang perlu diambil oleh pihak JAS.

Ini adalah waktu yang terbaik untuk kerajaan mengkaji semula peraturan yang sedia ada bagi memasukkan parameter pengukuran gas bagi mengenalpasti udara yang mampu mencetuskan gangguan kesihatan dan berbahaya jika ia melebihi daripada sukatan dibenarkan.

Sudah terang lagi bersuluh, fungsi JAS adalah untuk mencegah, menghapus, mengawal pencemaran dan memperbaiki alam sekeliling selaras dengan maksud Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974. Namun jika JAS tiada kuasa di dalam insiden Pasir Gudang itu, apakah matlamat sebenar jabatan ini?

Akta Alam Sekitar perlu dikaji semula, supaya insiden yang sama tidak berulang

Mungkin akta ini perlu diperbaharui seiring dengan perkembangan semasa. Tindakan menyeluruh perlu dilakukan segera oleh pihak kerajaan. Kita tidak mahu sehingga ada nyawa yang diragut akibat daripada pencemaran ini. Malah pencemaran Sungai Kim Kim ini memberi kesan kepada hidupan laut akibat dicemari toksik.

Udara di sekeliling kita adalah bahan utama untuk manusia terus bernafas. Air sungai pula adalah sumber utama air yang menjadi keperluan pada tubuh badan manusia. Jika kedua-dua sumber hakiki ini tercemar, di mana manusia mahu mendapat gantinya? Tiada syarikat di dunia yang mampu menyediakan perkhidmatan udara bersih untuk kita terus bernafas.

Hargai sumber yang ada. Tiada manusia yang mahu menggunakan bahan tercemar. Kepada pihak yang bertanggungjawab, untuk mengejar keuntungan bukan bermakna kita perlu mengorbankan kesihatan dan nyawa orang lain. Tiada makna keuntungan berjuta, jika hidup dimaki orang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here