Syarikat penerbangan negara, Malaysia Airlines (MAS) terus berhadapan dengan konflik kewangan dan pengurusan apabila gagal memberikan sebarang keuntungan sejak 2015. Kerajaan sudah berkira-kira mahu menjual MAS kepada syarikat yang berkelayakan.

MAS telah memulakan penerbangan pertama pada tahun 1947, sepuluh tahun sebelum kemerdekaan negara. Maka apa sahaja keputusan yang melibatkan MAS memerlukan kajian yang sangat mendalam kerana ia melibatkan jalinan emosi yang tinggi di kalangan rakyat Malaysia, ditambah dengan semangat patriotisme dan ikon kebanggaan negara. Bahkan, nasib pekerja MAS juga perlu diambil kira.

MAS telah mendapat suntikan kewangan daripada sayap kanan kerajaan, Khazanah Nasional Berhad di bawah Pelan Pemulihan MAS (MRP) pada Ogos 2014. MAS terus mendapat sokongan dan nasihat daripada kebanyakan ‘otai-otai’ ekonomi negara yang mahu melihat syarikat penerbangan ‘wau bulan’ itu kembali gah di awan biru.

Masa hadapan MAS masih menjadi persoalan

Tan Sri Lee Lam Thye mencadangkan kepada kerajaan untuk menubuhkan satu jawatankuasa khas yang melibatkan pakar penerbangan dan ekonomi bagi memulihkan dan menyelamatkan MAS. Antara pihak yang perlu terlibat dengan jawatankuasa tersebut ialah ahli Persatuan Pekerja Bersara MAS (MASRA) terutama tokoh yang terlibat dengan penubuhan MAS, iaitu Tan Sri Dr Abdul Aziz Abdul Rahman.

Cadangan yang dikemukakan oleh aktivis sosial itu ternyata suatu pemikiran yang perlu mendapat pertimbangan daripada pihak kerajaan. MAS pernah berhadapan dengan masalah yang hampir sama selepas tragedi terhempasnya pesawat MH653 di Tanjung Kupang pada 5 Disember 1977.

Tragedi 1977 yang membawa kepada penubuhan Jawatankuasa Task Force

Ekoran daripada tragedi itu, MAS berhadapan dengan defisit RM39 juta dan modal pusingan MAS yang masih tidak berubah iaitu RM70 juta. Akibat masalah defisit kewangan yang semakin meruncing, Tan Sri Abdul Aziz terpaksa menubuhkan Jawatankuasa Task Force yang mempunyai matlamat serampang dua mata iaitu mengurangkan perbelanjaan dan meningkatkan pendapatan syarikat.

Antara langkah drastik yang diamalkan oleh beliau semasa mengetuai Jawatankuasa Task Force ialah mengurangkan tenaga kerja di bahagian kabin dan membatalkan penerbangan yang tidak cukup penumpang, selain mengamalkan dasar jangka pendek iaitu menangguhkan kenaikan pangkat dan pengambilan pekerja baharu.

MAS tidak diberikan kuasa autonomi penuh berhubung keputusan perniagaan seperti pemilihan laluan penerbangan yang lebih menguntungkan. Kebanyakan laluan penerbangan MAS seperti bersifat kebajikan apabila kebanyakannya melibatkan kawasan pendalaman, tetapi atas dasar tanggungjawab sosial maka MAS tetap menawarkan penerbangan tersebut. Apakah identiti sebenar MAS? Adakah sebagai sebuah syarikat penerbangan bersifat komersial atau kebajikan?

Langkah menjual MAS kepada mana-mana syarikat swasta termasuk AirAsia bukan suatu percaturan yang bijak. Sedangkan AirAsia juga banyak bergantung dari segi kejuruteraan dan teknikal kepada MAS. AirAsia juga pernah menjalankan perikatan perniagaan dengan MAS, tetapi banyak laluan MAS diambil alih lalu menjadikannya sedikit dan tidak produktif.

Kerjasama MAS dengan syarikat antarabangsa mungkin antara langkah yang terbaik selain daripada penubuhan jawatankuasa khas. Misalnya Cathay Pacific, syarikat penerbangan milik United Kingdom tetapi menjalankan kerjasama dengan syarikat penerbangan dari Hong Kong. Namun, syarikat itu tetap menjadi milik UK dan tidak dijual sepenuhnya.

Menjalinkan kerjasama dengan syarikat penerbangan antarabangsa adalah langkah yang agak berisiko tinggi, kerana dikhuatiri MAS akan ‘kehilangan’ identiti asal, yang membawa imej Malaysia. Maka kerjasama yang bakal terjalin, jika benar ianya terjadi, MAS perlu mempunyai hak dalam menentukan keputusan. Syarikat asing tidak boleh ‘menguasai’ MAS.

MAS perlu mendapat perhatian daripada pihak kerajaan. Bukan soal wang rakyat mahupun aset negara, tetapi semangat patriotisme dan kecintaan kita kepada Malaysia. Biarkan ‘Wau Bulan’ terus megah di langit biru.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here