“Banyak kemudahan awam, kelengkapan diabaikan oleh kerajaan lama. Mereka lebih berminat buat yang baru sahaja”. Itu apa yang diungkapkan oleh Menteri Kewangan, YB Lim Guan Eng terhadap peranan kerajaan terdahulu yang dilihat mengabaikan urusan penyelenggaraan bangunan hospital lama sebaliknya lebih menumpukan terhadap pembinaan hospital baharu.

Jelas beliau, walaupun sudah terdapat hospital dengan kemudahan terkini, namun keadaan dan urusan penyelenggaraan terhadap hospital yang sedia ada haruslah diberi perhatian seadilnya. Hal ini kerana dalam mempertingkatkan kualiti kemudahan dan kelengkapan terhadap rakyat, ia memerlukan kos yang sangat banyak dan ini semestinya akan melibatkan peruntukan yang besar daripada kerajaan.

Hospital kerajaan adalah pilihan utama rakyat Malaysia

Jika dilihat hari ini, boleh dikatakan kemudahan di setiap hospital kerajaan masih lagi berada di tahap tidak memuaskan. Ini kerana sebahagian besar hospital-hospital kerajaan di seluruh negara masih lagi tidak mempunyai kelengkapan serta kemudahan yang mencukupi hingga mengakibatkan para pesakit di sesuatu kawasan terpaksa mendapatkan rawatan di hospital-hospital besar di bandar utama akibat kekurangan bekalan ubatan dan mesin rawatan. Hal ini sememangnya menjadi beban kepada rakyat khususnya penduduk di kawasan luar bandar yang terpaksa mengeluarkan kos perbelanjaan yang besar untuk mendapatkan rawatan pakar.

Di samping itu, alatan bantuan perubatan yang sedia ada juga tidak diselenggarakan. Ini seperti yang dinyatakan Menteri Kewangan apabila pihaknya melakukan pemerhatian di semua hospital-hospital kerajaan seluruh negara, masih lagi terdapat alatan, kelengkapan dan kemudahan yang dibiarkan sehingga 20 tahun lamanya dan tidak diselenggara sama sekali. Ini menyebabkan sebahagian besar hospital-hospital kerajaan di seluruh Malaysia tidak dapat memberikan perkhidmatan terbaik buat para pesakit.

Dalam hal ini, kerajaan perlulah berlaku adil dalam menyediakan prasarana dan kemudahan kesihatan kepada rakyat Malaysia. Seperti dalam kes ini, peruntukan perbelanjaan bagi menaiktaraf kemudahan kesihatan haruslah seimbang di antara kawasan bandar dan luar bandar. Bukan itu sahaja, kos penyelenggaraan ke atas kemudahan di hospital sedia ada juga perlu diberi perhatian. Ini kerana selain dapat menjimatkan kos, ia juga membantu kerajaan dalam menangani masalah lambakan kemudahan yang tidak digunakan dan terbiar.

Kerajaan disarankan untuk mencari solusi penambahbaikan di hospital sedia ada

Sehubungan itu, keseimbangan dalam menyediakan peruntukan oleh kerajaan amat diperlukan bagi memberi kemudahan kepada rakyat secara adil. Ini kerana di Malaysia kini terdapat 144 buah hospital kerajaan yang masih memerlukan perhatian dari segi penambahbaikan kemudahan dan infrastruktur bagi membolehkan rakyat menerima perkhidmatan kesihatan terbaik di negara ini. Bukanlah kata hendak menolak kemajuan dalam industri perubatan. Tidak salah rasanya jika kerajaan memberikan lebih tumpuan ke atas penambahbaikan ke atas hospital-hospital di Malaysia sebelum membina sebuah hospital baru yang lengkap.

Justeru, kerajaan hari ini disarankan untuk mengkaji semula peruntukan untuk menyelenggara kemudahan yang sedia ada di semua hospital seluruh negara daripada membina sebuah hospital yang baharu. Hal ini kerana lebih banyak penjimatan yang boleh dilakukan melalui usaha ini. Seperti isu ini, bukanlah pembinaan hospital baharu yang menjadi agenda utama, sebaliknya penambahbaikan kemudahan dan infrastruktur menjadi titik tolak usaha kerajaan dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat. Apalah guna bertambahnya bangunan hospital kalau tak diselenggara dengan baik? Pasti akan rosak juga!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here