Memasuki minggu pertama tahun 2020, isu larangan merokok di premis makanan kembali hangat diperdebatkan. Pelbagai maklum balas dapat dilihat oleh masyarakat kita berkenaan penguatkuasaan ini.

Sehubungan itu, bagi berlaku adil kepada perokok-perokok, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan memperuntukkan RM 1 juta kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh negara bagi membina kawasan merokok di kawasan awam.

Hakikat di mana rokok dan asap rokok membahayakan kesihatan sememangnya tidak boleh disangkal. Oleh itu, tidak ada keperluan untuk melakukan pembinaan kawasan merokok di kawasan larangan merokok khususnya di premis makanan.

Perokok perlu patuhi larangan merokok di premis makanan

Di samping itu, idea ini juga bukanlah satu idea yang baik kerana ia menunjukkan objektif dan tindakan mengenai penguatkuasaan ini kelihatan tidak seiring. Hal ini kerana setakat ini semua kawasan adalah dibenarkan merokok kecuali beberapa kawasan yang telah diwartakan.

Maka, cadangan untuk membina kawasan merokok berdekatan premis makanan adalah tidak wajar. Selain itu, sebelum ini Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga pernah menyatakan bahawa cukai rokok yang dikutip masih belum mencukupi untuk menanggung kos merawat penyakit merokok.

Golongan perokok pasif juga menerima kesan buruk akibat daripada asap rokok

Ini membuktikan bahawa sebarang perbelanjaan untuk membina kawasan merokok bukanlah idea terbaik malah hanya akan memberi galakan dan dorongan kepada rakyat untuk meneruskan tabiat merokok.

Walau bagaimanapun, ia bukanlah satu cadangan yang perlu ditolak secara terus kerana masih terdapat kawasan yang mungkin memerlukan pembinaan kawasan merokok ini. Namun, justifikasi pembinaan kawasan ini haruslah kukuh dan jauh daripada kawasan laluan orang ramai.

Secara keseluruhannya, pembinaan kawasan merokok di premis makanan bukanlah satu idea yang baik kerana golongan yang perlu diberikan keutamaan adalah golongan yang tidak merokok. Sekiranya, pelaksanaan undang-undang ini adalah untuk menggalakkan rakyat berhenti merokok, maka kerajaan dan pihak berwajib perlu mendidik masayrakat secara terus dan tegas melalui undang-undang bagi mencapai objektif ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here