Baru-baru ini, Kerajaan Pulau Pinang tidak dimaklumkan berhubung cadangan pembinaan sebuah lapangan terbang di negeri berkenaan. Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, kerajaan negeri tidak tahu mengenai cadangan itu seperti yang dilaporkan Akhbar The Stars. Akhbar The Stars melaporkan dua syarikat menghantar kertas cadangan membuat projek lapangan terbang di tanah besar Pulau Pinang bernilai puluhan bilion ringgit.

Akhbar tersebut juga mendakwa kedua-dua kertas cadangan lapangan terbang baharu itu akan menggantikan lapangan terbang sedia ada iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) di Bayan Baru dan menggugat cadangan membina Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim dengan dibiayai oleh Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI).

Walau bagaimanapun, Kerajaan Pulau Pinang tidak menolak sekiranya ada cadangan untuk membina lapangan terbang baharu di negeri ini atau sekitar wilayah ini. Namun Kerajaan Pulau Pinang akan terus dengan perancangan yang dibuat sebelum ini iaitu menjalankan kajian terperinci mengenai keperluan dan kesesuaian pembinaan lapangan terbang di negeri serta kawasan sekitarnya pada masa hadapan.

Kapasiti maksimum LTAPP berpotensi ditingkatkan kepada 25 juta penumpang setahun

Persoalannya, adakah pembinaan lapangan terbang baru perlu diwujudkan? Lapangan Terbang baru Pulau Pinang perlu diwujudkan untuk menguruskan 16 juta penumpang setiap tahun dan ia boleh diluaskan untuk menampung sehingga 25 juta penumpang setahun. Jumlah itu jauh lebih tinggi berbanding kapasiti penumpang yang boleh dikendalikan LTAPP dalam setahun ketika ini iaitu hanya 6.5 juta penumpang. Ini membuktikan bahawa kejayaan kerajaan untuk menarik pelancong dan pelabur untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai lokasi pilihan.

Lapangan terbang baru juga boleh dijadikan untuk menghubungkan syarikat penerbangan tempatan dan antarabangsa tambang murah dengan perkhidmatan pesawat tambang murah. Malah kemudahan lain turut boleh disediakan antaranya pusat membeli belah dan restoran makanan yang berada di lapangan terbang bagi membuka peluang pekerjaan kepada rakyat sekaligus meningkatkan pendapatan mereka.

Lapangan terbang baru Pulau Pinang dapat mengelakkan kesesakan lalu lintas

Selain itu, fokus kerajaan adalah untuk membangunkan dan meningkatkan kecekapan sistem pengangkutan di kawasan pembangunan termasuk penyediaan kemudahan lapangan terbang kepada tiga negeri dengan terminal berlepas yang menyediakan monorel transit bagi para penumpang untuk membuat perjalanan antara Pulau Pinang dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Utara Malaysia (NMIA) dalam masa 45 minit.

Di samping itu, pembinaan lapangan terbang di Pulau Pinang juga akan membantu menangani masalah kesesakan lalu lintas. Pulau Pinang sentiasa menjadi tumpuan pelancong dalam dan luar negara sehinggakan pelancong yang memandu kenderaan sendiri pasti tidak terlepas daripada mengalami kesesakan lalu lintas. Sekiranya lapangan terbang Pulau Pinang tidak dibina, kesesakan pasti akan bertambah teruk.

Namun begitu, terdapat kesan negatif akibat pelaksanaan lapangan terbang baru Pulau Pinang antaranya kos yang tinggi. Walaupun dana untuk pembinaan lapangan terbang akan diperolehi melalui inisiatif swasta dan dijangka menjadi salah satu projek yang memberi impak tinggi kepada Pulau Pinang, tetapi pembinaan lapangan terbang baru ini bukan keputusan yang boleh diambil ringan atau akhirnya rakyat dibebankan dengan perbelanjaan yang besar untuk projek mega seperti ini.

Walau bagaimanapun, sekiranya kerajaan tidak mampu membelanjakan kos pembinaan lapangan terbang baru ini, kerajaan boleh menjalankan projek menaik taraf lapangan terbang lama Pulau Pinang bagi menampung lebihan penumpang. Ini termasuklah penyediaan sistem berteknologi lebih canggih seperti kemudahan bilik masuk, pemeriksaan keselamatan dan imigresen serta lif pejalan kaki ke pintu lebih mudah  kepada pengguna.

Oleh itu, kita seharusnya memberi sepenuh kepercayaan kepada kerajaan untuk melakukan kebolehlaksanaan mengikut kesesuaian dan kos yang perlu ditanggung oleh kerajaan sebelum memulakan projek pembinaan lapangan terbang baru ini bagi menampung kapasiti penumpang yang semakin bertambah setiap tahun selain menyediakan suasana yang lebih selamat dan selesa.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here