Malaysia kini mendapat perhatian dunia ekoran daripada kempen #BoycottMalaysia oleh pengguna media sosial dari negara India baru-baru ini. Kempen tersebut dilakukan kerana ucapan Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad di New York pada 27 September berkenaan konflik Jammu dan Kashmir di Utara India.

Dalam ucapan Tun Mahathir di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) Ke-74, beliau ada menyebut ‘Jammu dan Kahsmir telah dijajah dan diduduki oleh India’. Perkara tersebut menimbulkan kemarahan penduduk India kerana bagi mereka, Kashmir mempunyai kepentingan untuk India dan tidak perlu ada campur tangan daripada negara lain di dunia ini.

Kempen #BoycottMalaysia dilancarkan warga net India yang berang dengan kenyataan Tun Mahathir di UNGA

Malah gesaan Tun Mahathir untuk pihak India bekerjasama dengan Pakistan yang merupakan musuh ketat kepada India telah membuatkan segelintir rakyat India menyebarkan propaganda untuk tidak melancong ke Malaysia. India dan Pakistan kini berada dalam situasi tegang bagi menuntut penguasaan ke atas wilayah majoriti Islam di Kashmir dengan mahu melancarkan perang nuklear.

Oleh kerana itu wujud kebimbangan tentang impak kempen ini terhadap ekonomi negara kerana India merupakan pengimport ketiga terbesar minyak sawit negara dan mempunyai pelaburan di Malaysia bernilai hampir RM163 bilion. Malah, produk halal Malaysia juga mendapat permintaan tinggi di India dan kerajaan mensasarkan peningkatan 18 peratus pelancong dari India ke Malaysia.

Walau bagaimanapun, kempen #BoycottMalaysia ini tidak akan memberi kesan kepada hubungan diplomatik antara Malaysia dengan India kerana Malaysia masih lagi bersikap berkecuali terhadap konflik di Kashmir. Apa yang dinyatakan Tun Mahathir adalah kedua-dua negara perlu mencari jalan penyelesaian secara rundingan berbanding melancarkan peperangan.

Tiada kenyataan balas dari Modi mengenai ucapan Tun Mahathir tentang konflik Jammu dan Kashmir baru-baru ini

Kenyataan Tun Mahathir juga tidak mendapat maklum balas daripada kerajaan India dan beliau telah bercakap dengan Perdana Menteri India, Narendra Modi tentang perkara tersebut. Setakat ini belum ada kenyataan yang menyatakan kerajaan India terkesan dengan teguran Tun Mahathir dan beliau sendiri menolak sebarang ancaman terhadap kempen #BoycottMalaysia dalam hubungan kedua-dua negara.

Justeru, kerajaan Malaysia telah bertindak dengan baik kerana menegur India serta Pakistan supaya mencari jalan penyelesaian terhadap konflik di Jammu dan Kashmir. Kenyataan Tun Mahathir juga telah diperbesarkan tanpa melihat keseluruhan konteks ucapan beliau di UNGA dan kempen ini tidak sepatutnya dilakukan oleh rakyat India.

Ramai melihat kempen ini sebagai salah satu usaha untuk menekan kerajaan Malaysia tentang ekstradisi penceramah bebas Dr Zakir Naik kembali ke India. Maka, rakyat Malaysia perlu berjaga-jaga untuk tidak bertindak balas terhadap kempen ini bagi mengelakkan lebih banyak masalah timbul dan mengeruhkan hubungan diplomatik kedua-dua negara pada masa akan datang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here