Malaysia dan budaya aib dalam politik pada hari ini boleh diumpamakan “seperti isi dengan kuku”. Ini kerana saban hari pasti ada tularan berkaitan keaiban ahli-ahli politik di negara ini dipaparkan di setiap platform laman sosial, tidak kiralah sama ada daripada parti kerajaan mahupun parti pembangkang. Budaya aib atau sering disebut sebagai ‘troll’ merupakan strategi terkeji dalam arena politik untuk menyingkirkan pengaruh seseorang demi untuk mendapatkan kuasa dan sokongan.

Mengapa dan apakah punca berlakunya gejala ini semakin merebak di Malaysia? Jawapannya cukup mudah, kerana wang dan pengaruh kedudukan. Seorang ahli politik tidak akan berada di kedudukannya kini sekiranya tidak mendapat sokongan daripada penyokong tegarnya, iaitu tentera alam maya. Senario politik pada hari ini tidak sama seperti politik 50 tahun dahulu di mana para pemimpin politik berhempas-pulas menyebarkan dakyah menggunakan propaganda-propaganda bagi menimbulkan kebencian di kalangan rakyat. Politik hari ini semudah di hujung jari, apa sahaja yang ingin diungkapkan, petik sahaja maka terhasilnya satu ‘masterpiece’ yang menghina serta mengaibkan pihak lawan.

Tan Sri Muhyiddin Yassin antara individu yang menjadi mangsa budaya aib dengan sebaran fitnah yang cuba menjatuhkan karier politik beliau

Di antara punca dan sebab lain mengapa gejala ini merebak adalah kerana perasaan iri hati dan hasad dengki dengan kejayaan lawan mereka di dalam arena politik. Hal ini dapat dilihat dalam keadaan politik semasa Malaysia di mana tidak kira sama ada pihak kerajaan mahupun pembangkang sama-sama menggunakan segala platform media sosial yang ada untuk ‘menghentam’ kejayaan yang diraih oleh seorang ahli politik demi kesenangan rakyat di kawasannya. Jadi, di sinilah peranan para tentera alam siber parti masing-masing dalam ‘menghentam’ serta ‘mempertahankan’ tindak tanduk yang dilakukan oleh ahli politik berkenaan.

Seeloknya, budaya aib dalam politik ini harus dihentikan dengan segera demi keamanan pentadbiran negara. Namun, ia suatu perkara yang mustahil kerana budaya ini sudahpun menjadi ‘rempah-ratus’ dalam kancah politik alaf baru Malaysia. Akan tetapi, sekiranya ia diteruskan dan tiada kesudahan, beberapa kesan dan implikasi boleh terjadi hingga mengakibatkan perpecahan dan persengketaan antara masyarakat.

Antara kesan dan implikasi yang mungkin terjadi akibat daripada budaya ini adalah wujudnya kebencian antara kaum. Hal ini telahpun dibuktikan melalui ‘posting-posting’ kenyataan para ahli politik yang bersifat perkauman hingga menimbulkan kemarahan rakyat Malaysia. Akibatnya, berlakulah perang komen di media sosial oleh para tentera alam siber penyokong kedua-dua buah kumpulan dan mencetuskan perbalahan hingga menyebabkan berlakunya sifat rasis di kalangan rakyat Malaysia.

Di dalam Islam sendiri dinyatakan untuk menjaga aib sesama sendiri agar memelihara kehormatan dan maruah diri

Selain itu, kesan dan implikasi lain yang boleh dilihat adalah kurangnya moraliti akhlak ahli-ahli politik yang terlibat di mata masyarakat di dalam dan luar negara. Ini kerana keterlibatan mereka yang cuba untuk meraih sokongan akan menyebabkan timbulnya persepsi negatif seluruh masyarakat dunia terhadap negara, ini ditambah lagi dengan Malaysia yang menjadikan agama Islam sebagai agama rasmi. Sudah pasti, dunia akan menilai dari perspektif berikut.

Sejujurnya, pandangan rakyat Malaysia mengenai budaya aib di dalam politik ini dilihat seakan terumbang-ambing. Mungkin ini disebabkan wujudnya kekeliruan di antara siapa betul dan siapa salah yang belum dapat dibuktikan lagi. Sebagai contoh, kes video yang melibatkan Menteri Kabinet negara di mana rata-rata rakyat mengambil pendekatan bersifat neutral walaupun ada sebilangan daripada mereka yang percaya 100 peratus bahawa video tersebut asli tanpa suntingan.

Hakikatnya, budaya aib dalam politik di negara ini dilihat seakan sudah sebati dalam diri masyarakat Malaysia apabila sebahagian besar daripada mereka turut menjadi penyumbang kepada tularan aib tersebut. Malah lebih malang lagi, ada di antara mereka menjadikannya sebagai karier tetap lantaran bayaran yang diterima oleh pihak-pihak yang berkepentingan dalam politik begitu lumayan sehingga boleh mencecah puluhan dan ratusan ribu ringgit.

Dalam perkara ini, kerajaan seharusnya memikirkan solusi penyelesaian secara tegas bagi mengekang budaya ini dari terus merebak dan menjadi ‘barah’ dalam masyarakat Malaysia. Satu polisi haruslah dibentuk oleh kementerian yang terlibat dalam memastikan tiada unsur-unsur sabotaj dikenakan terhadap para ahli politik oleh individu yang tidak bertanggungjawab. Membudayakan aib dalam kancah politik di laman sosial merupakan satu perbuatan hina yang harus dihentikan baik kerajaan mahupun pembangkang. Ini bagi memastikan era politik di bawah pentadbiran Malaysia baharu sentiasa bersih dan berintergriti.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here