Kedatangan bulan Ramadan membawa rahmat dan maghfirah ( keampunan ) yang tidak terhingga. Sebagai manusia yang beriman kepada Allah SWT dengan keimanan Islam yang mantap, mereka akan terus tawaduk dan bertakwa kepada Allah SWT selepas melalui bulan Ramadhan ini. Antara tujuan utama puasa Ramadan yang diwajibkan oleh Allah SWT kepada umat Islam adalah untuk memperbaiki diri seseorang, baik secara lahir mahupun batin. Puasa Ramadan memiliki keistimewaan tersendiri berbanding ibadah – ibadah yang lain dan tentunya memiliki akibat yang istimewa di dalam kemampuan seseorang individu untuk memperbaiki diri. Jika seseorang mampu memperbaiki diri ke arah yang lebih baik selepas menjalani sebulan berpuasa, maka dengan sendirinya dia akan berbuat kebaikan kepada orang lain dan juga kepada yang ada di sekitarnya.

Sepanjang bulan Ramadhan yang penuh barokah ini, semua pemimpin perlu melakukan muhasabah diri iaitu menilai, meninjau, memikir dan merenung dengan mendalam perasaan dan pendirian sendiri yang sejauhmanakah seharusnya menuju ke arah kebaikan diri dan kebaikan untuk umat Islam sejagat. Sedangkan muhasabah diri adalah salah satu amalan yang disebutkan dalam Al – Quran dan diajarkan oleh Rasulullah SAW. Dalam surah Al Hasyr:18, Allah berfirman;

” Hai orang – orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok ( akhirat ); dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan. ” ( QS. Al -Hasyr: 18 ).

Dengan melakukan muhasabah diri, manusia akan membuka hati dan menyedari segala dosa – dosanya. Setelah itu, muslim yang taat akan bertaubat dan tidak akan mengulangi kesalahannya. Sementara itu, dalam kehidupan di era digital dan dunia tanpa sempadan ini, mungkin sebelum ini mereka banyak melakukan dosa -dosa terutamanya yang berkaitan dengan fitnah, sumpah seranah dan juga menyebarkan berita yang tidak sahih. Oleh itu, puasa dalam bulan Ramadan mengajak kita bermuhasabah diri, merenung kembali apa yang kita lakukan selama ini. Apatah lagi menjadi seorang pemimpin yang terdedah kepada berbagai perbuatan buruk termasuk rasuah, nepotisme, kleptokrat, dan sebagainya lagi. Amanah kepimpinan adalah amanah yang cukup berat sarat dengan tanggungjawab dan kewajipan. Ini selaras dengan kewajipan sebagai Khalifah di atas muka bumi ini yang Allah SWT kurniakan kepada manusia dengan misi membangun dan memakmurkan bumi yang terbentang luas ini. Rasulullah SAW bersabda maksudnya:

” Pemimpin yang menguasai urusan kaum Muslimin, tetapi tidak bersungguh – sungguh memerhatikan kepentingan kaumnya, tidak nasihat menasihati demi kebaikan dan kesejahteraan mereka, kelak dia tidak dapat masuk syurga bersama – sama mereka. ” ( HR Bukhari & Muslim ).

Di bulan Ramadan ini juga semua pemimpin hendaklah menjadikan bulan ini sebagai langkah awal untuk membuat perubahan diri sama ada dari segi hubungannya dengan Allah dan hubungannya sesama insan yang lain. Setiap orang Islam termasuk pemimpin perlu muhasabah diri dan bersedia untuk berhijrah diri daripada sikap dan sifat yang tidak baik kepada yang lebih baik. Bermuhasabah – dirilah, sejauh mana selama ini mereka telah laksanakan amanah kepimpinan dengan baik mengikut lunas – lunas yang ditetapkan oleh Allah SWT dan RasulNya.

Sedarlah bahawa jika dulu mereka bersikap sombong, angkuh, bangga diri, mengejar dunia, berhasad dengki, menabur fitnah, terlibat dengan berbagai keengkaran daripada batas -batas syariat, atau memiliki beberapa sifat mazmumah ( tercela ) yang lain, maka di bulan puasa inilah masa terbaik untuk mereka membaiki semua perkara tersebut. Bulan Ramadan ini kita juga dianjurkan untuk tidak saling bermusuhan, sebaliknya saling memaafkan orang – orang yang pernah menyakiti. Dengan saling bermaaf – maafan hubungan tali silatulrahim yang mungkin sempat renggang akan bertaut kembali.

Di samping itu, marilah kita menjalankan ibadah puasa mengikut hakikat puasa yang sebenar – benarnya iaitu kita menahan semua anggota kita; tangan, kaki, mata, telinga, mulut malah termasuk hati kita daripada melakukan kemaksiatan kepada Allah SWT. Disebabkan kita menahan untuk tangan, kaki, mata, telinga, mulut dan hati demi tidak melanggar perintah Allah SWT, maka dosa – dosa orang yang berpuasa diampunkan oleh Allah SWT. Lantaran itu, RasulullahSAW bersabda:

“ Barang siapa berpuasa Ramadan dengan penuh keimanan mengharap balasan pahala daripada Allah, diampunkan dosa – dosanya yang lalu. ” ( HR Bukhari ).

Selama berpuasa, kita dilarang berkata bohong, berkhianat, mengumpat orang lain dan sebagainya. Semasa berpuasa, kita dituntut untuk selalu berperilaku baik, berkata jujur, tidak berbohong, amanah dan benar serta berkata lemah lembut kepada orang lain. Dalam hadis riwayat Imam al – Bukhari dari Abu Hurairah, dia berkata bahwa Rasulullah SAW bersabda:

“ Barang siapa yang tidak meninggalkan perkataan dusta serta melakukannya, maka Allah tidak memerlukan dari rasa lapar dan haus yang dia tahan. ”

Dalam hadis riwayat Ibnu Majah dari Abu Hurairah juga disebutkan bahwa Rasulullah SAW bersabda:

“ Puasa bukanlah hanya menahan makan dan minum saja. Akan tetapi, puasa adalah dengan menahan diri dari perkataan sia – sia dan kotor. Apabila ada seseorang yang mencelamu atau berbuat usil padamu, katakanlah padanya, ‘Aku sedang puasa, aku sedang puasa.’”

Jika kita tidak menggunakan kesempatan yang Allah SWT berikan dengan melaksanakan puasa yang sebenarnya ( puasa tangan, kaki, mata, telinga, mulut malah termasuk menjaga hati kita ), maka ketahuilah bahawa puasa kita itu hanya sia – sia sahaja. Hanya mendapat lapar dan dahaga kerana tidak makan dan minum tetapi pada hakikatnya tidak mendapat apa – apa daripada puasa kita. Rasulullah SAW bersabda:

“ Ramai orang yang berpuasa hanya mendapat lapar dan dahaga sahaja ”. ( HR Ibnu Majah ).

Oleh itu, amat rugilah kita, jika peluang untuk meraih pahala dan berbagai kelebihan yang Allah SWT berikan sepanjang bulan Ramadhan, tetapi kita tidak berusaha untuk meraihnya. Begitu juga peluang yang Allah SWT tawarkan untuk mengampunkan dosa – dosa orang yang berpuasa tetapi kita tidak cuba untuk bertaubat di atas kesalahan dan dosa-dosa kita yang lalu. Bahkan Rasulullah SAW mengkhabarkan bahawa jika seseorang Muslim yang sempat melalui bulan Ramadhan sedangkan dosa – dosanya tidak diampunkan bila berlalu Ramadhan, maka celakalah dia. Rasulullah SAW bersabda:

“ Celakalah seseorang yang telah sempat memasuki bulan Ramadhan, kemudian Ramadhan pun berakhir sedangkan dia belum mendapat keampunan ( dari Allah ). ” (HR Bukhari).

Oleh itu ingatlah wahai pemimpin umat Islam bahawa sesiapa yang suka menilai atau melihat kekurangan diri, sebenarnya itulah cara untuk melakukan perubahan. Oleh itu, walaupun pahit untuk menerima kenyataan, itu adalah lebih baik kerana bermuhasabah dapat membersihkan diri daripada kejahilan serta dosa. Orang yang beruntung adalah yang sentiasa membuat pembetulan supaya dapat memperbaiki kecelaan diri dan menjadikannya mukmin yang lebih baik. Ingatlah pesan Imam Ghazali bahawa ” Barang siapa yang sering bermuhasabah pada dirinya, nescaya dia akan temui keringanan pada hari akhirat kelak. “.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here