Dunia pada zaman kini sedang diancam dengan serangan ideologi ektremisme yang sangat membimbangkan kerana ianya melibatkan kehilangan nyawa yang tidak bersalah. Hampir setiap hari berita-berita mengenai ekstremisme ini keluar di surat khabar dan juga laman media sosial kerana masalah ini tidak akan berakhir dalam masa terdekat. Ini juga menjadi cabaran kepada dunia untuk menghadapi ideologi ekstremisme yang semakin meruncing hingga mengancam keselamatan sesebuah negara.

Baru-baru ini, kes keganasan yang berlaku dalam sebuah masjid di Christchurch, New Zealand telah mengemparkan dunia apabila 50 orang umat Islam terkorban akibat ditembak pengganas anti-Islam. Malah serangan kumpulan pengganas ISIS yang menyerang gereja di Selatan Filipina dengan menggunakan bom telah menunjukkan ideologi ekstremisme tidak mengenal agama dan negara kerana agenda utama mereka adalah untuk membunuh.

Disebabkan itulah ianya menjadi cabaran kepada ramai pihak dalam dunia ini dalam mengekang ideologi ekstremisme daripada meresapi minda orang ramai. Ini kerana sukar untuk masyarakat menjangka seseorang itu boleh menjadi pengganas di sebalik perwatakan mereka yang kelihatan harmoni, perawatakan baik dan tiada tanda-tanda ekstremis. Orang sebegini mungkin berada di kiri kanan dalam kehidupan masyarakat tanpa disedari kerana modus operandi mereka untuk melakukan keganasan dilakukan secara senyap dan tertutup.

Pengaruh White Supremacy kini menjadi ancaman kepada keselamatan dunia

Jika masyarakat tidak menangani masalah ini, ia boleh memberi kesan yang sangat buruk kepada negara malah dunia ini. Kumpulan pengganas ini setiap hari semakin aktif dalam merekrut ahli baru untuk menguatkan pengaruh mereka dan melahirkan pengganas. Kumpulan pengganas seperti ISIS, DAESH dan White Supremacist tidak akan berhenti selagi agenda mereka untuk menghapuskan agama atau fahaman lain tidak terlaksana.

Namun begitu, masih ada satu lagi ekstremisme yang belaku dalam negara ini iaitu kumpulan umat Islam yang mahu meliberalisasi dan mengubah syariah Islam. Kumpulan ini mengambil daripada beberapa pandangan falsafah moden dan sekular yang melampaui batas serta mengilhamkan daripada hak asasi manusia.

Antara persamaan yang terdapat dalam kedua-dua jenis ekstremisme ini adalah mereka menggunakan ruang demokrasi dan mempengaruhi media sosial dalam masyarakat Islam seperti di Malaysia, Indonesia, Syria dan juga negara Islam lain. Dunia jaringan internet yang semakin luas kini memudahkan mereka untuk melebarkan pengaruh mereka kepada orang lain kerana pengguna internet dan media sosial juga semakin meningkat.

Kejayaan PDRM menangkis pengaruh ekstremisme telah pendapat pengiktirafan dari UNESCO

Oleh kerana itu, seluruh negara perlu bersatu dalam mengatasi masalah ekstremisme ini dari terus berlaku kerana lebih banyak nyawa boleh terkorban jika tidak diatasi dengan berkesan. Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) perlu mengisytiharkan kumpulan ekstremisme ini sebagai ancaman dunia dan tidak mengiktiraf mereka dengan kumpulan militan Islam atau bukan Islam kerana tiada agama yang mengajar tentang keganasan.

Selain itu, setiap negara perlu memperkasakan unit risikan masing-masing bagi memantau aktiviti-aktiviti yang mempunyai unsur keganasan untuk mencegah dari sebarang tragedi melibatkan nyawa berlaku pada masa akan datang. Malaysia merupakan contoh terbaik hingga diiktiraf UNESCO kerana kejayaan mencegah ekstremisme menerusi pendidikan. Kerajaan mengambil pendirian tegas terhadap keganasan melalui keterangkuman dan pendidikan yang dianggap sebagai langkah pencegahan jangka panjang paling berkesan mengatasi ekstremisme.

Justeru, ideologi ekstremisme ini perlu diatasi dengan segera bagi mengelakkan tragedi yang berlaku di New Zealand dan Filipina berulang kembali. Rakyat perlu sedar tentang bahaya ideologi ini dan perlu merujuk kembali kepada agama masing-masing kerana keganasan tidak mengenal agama. Langkah awal perlu diambil dengan menangkap individu yang berpotensi melakukan keganasan supaya lebih banyak nyawa yang tidak berdosa dapat diselamatkan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here