Teknologi kewangan kini telah berkembang seiring dengan perkembangan internet dimana ramai pihak mula menggabungkan kedua-duanya sehingga terlahirnya mata wang crypto seperti Bitcoin. Akan tetapi, ramai tidak mengetahui bitcoin hanyalah salah satu produk daripada rangkaian teknologi yang lebih besar iaitu Blockchain. Segala kelebihan dan kehebatan Bitcoin sebenarnya adalah ciri-ciri dari teknologi Blockchain tersebut.

Blockchain dikeluarkan oleh individu yang menggunakan nama Satoshi Nakamoto pada tahun 2009 dengan idea untuk berkongsi dan menyebarkan maklumat tanpa boleh ditiru serta privasinya dijamin. Ia merupakan pengkalan data terbuka untuk semua maklumat di dalam jaringan dalam talian dipanggil ‘nodes’. Teknologi ini juga tiada central server, tiada pemilik sistem dan tiada pengawal sistem.

Proses teknologi Blockchain ini bermula dengan pengguna melakukan transaksi kepada penerima, kemudian transaksi tersebut akan masuk ke talian yang dikenali sebagai ‘block’. Block tersebut akan disiarkan kepada setiap nodes untuk mengesahkan transaksi tersebut dan setelah disahkan, block transaksi itu akan ditambah dalam satu rangkaian (chain) untuk dijadikan rekod transaksi yang kekal serta tidak boleh diubah. Kemudian barulah transaksi itu akan diterima oleh penerima tersebut.

Infografik proses teknologi Blockchain dalam melakukan transaksi

Selain itu, teknologi Blockchain ini boleh digunakan dalam pelbagai industri seperti pebankan, penjagaan kesihatan, perniagaan dan sebagainya. Ia dapat memberi manfaat kepada ramai pengguna kerana setiap transaksi akan disimpan dalam satu rangkaian sahaja iaitu Blockchain. Jadi, amat sukar untuk mana-mana pihak mahu menggodam maklumat transaksi kerana dalam jaringan tersebut, satu blok akan saling berkaitan dengan blok-blok lain. Jadi penggodam perlu menggodam setiap blok dalam jaringan tersebut untuk mencuri satu maklumat transaksi.

Malah, setiap transaksi dalam Blockchain adalah terbuka dan setiap pengguna boleh mengakses segala perjalanan sesebuah transaksi tanpa perlu mengharapkan pihak ketiga atau pihak lain. Jadi dalam perniagaan seperti fesyen, keaslian produk seperti baju, kasut dan sebagainya boleh disahkan sendiri oleh pemilik jenama, peruncit serta pengguna melalui Blockchain. Ia boleh mengurangkan pemalsuan dan penipuan produk tersebut kerana mereka boleh melihat proses transaksi dari awal sampai akhir.

Teknologi Blockchain dapat mengubah ekonomi digital negara ke arah yang lebih baik

Oleh kerana itu, teknologi ini boleh memberi manfaat kepada negara kerana ianya sudah diiktiraf dalam Forum Ekonomi Dunia sebagai 10 teknologi terbaik. Pada tahun 2017, Kumpulan Industri-Kerajaan Bagi Teknologi Tinggi Malaysia (MIGHT) dan Bloxtex Sdn Bhd telah bekerjasama untuk membangunkan industri Blockchain negara. Jika ianya dapat dibangunkan, ia dapat mengubah ekonomi digital ke arah yang lebih maju.

Ini kerana, teknologi Blackchain dapat menyediakan jaminan keselamatan yang lebih baik dengan sistem pelayan tidak berpusat. Ia juga dapat menghapuskan pengubahan wang haram dalam perbankan kerana setiap transaksi haram boleh dikesan dan mengelakkan penyamaran aktiviti haram tersebut sebagai sah.

Justeru, teknologi Blackchain ini dapat memberi manfaat yang baik kepada rakyat dan dapat memastikan keselamatan pelbagai transaksi terjaga dari digodam pihak lain. Tetapi, teknologi ini masih memerlukan masa untuk dibuktikan untuk menamatkan era sistem berpusat yang diguna pakai hari ini. Jika teknologi ini dapat digabungkan dengan kecerdasan buatan (AI), nescaya ia dapat menjadi teknologi yang sangat hebat dan selamat digunakan pada masa hadapan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here