Baru-baru ini, di persidangan belia anjuran badan pemikir, Presiden Forum Al Sharq Wadah Khanfar telah menyatakan pendapat bahawa terdapat keperluan untuk memiliki nilai bersama yang menyatukan umat manusia di seluruh dunia. Merujuk kepada kenyataan tersebut, beliau juga berpendapat bahawa Kuala Lumpur dan Malaysia adalah tauladan hebat berdasarkan keharmonian yang dikecapi Malaysia.

Ia jelas menunjukkan bahawa usaha kerajaan dalam menerapkan perpaduan kaum di kalangan rakyat malaysia sejak sekian lama membuahkan hasil sehingga menjadi contoh oleh negara luar. Namun, apa yang dikecapi Malaysia kini bukanlah ‘datang bergolek’ kerana pelbagai cabaran telah dihadapi sehingga pernah berlaku pertumpahan darah. Sejak merdeka, keharmonian kaum sentiasa menjadi keutamaan dan menjadi tulang belakang kejayaan negara memandangkan Malaysia terdiri daripada masyarakat majmuk.

Keharmonian kaum perlu dipelihara demi masa depan generasi akan datang

Benarlah kata orang, pengajaran terbaik adalah pengalaman. Oleh itu, tragedi 13 Mei 1969 sentiasa menjadi rujukan mengapa keharmonian kaum adalah penting khususnya di Malaysia. Keharmonian kaum di Malaysia adalah sangat penting bagi mengekalkan kestabilan politik kerana ia adalah perkara penting dalam pentadbiran negara supaya ianya berjalan dengan lancar dan sistematik. Kestabilan politik adalah penting dalam menarik minat pelabur luar datang ke Malaysia sekaligus ia akan menjana ekonomi negara dengan lebih baik.

Selain itu, terdapat beberapa cabaran lain yang dihadapi kerajaan bagi menjamin keharmonian kaum. Antara cabarannya adalah daripada aspek ekonomi di mana seperti sedia maklum sejak dahulu lagi, aktiviti ekonomi telah diasingkan mengikut kaum sehingga berlakunya jurang ekonomi antara kaum di mana lama-kelamaan timbul sifat iri hati sesama kaum. Ini adalah salah satu cabaran yang perlu dihadapi kerajaan dalam menerangkan kepada rakyat bagi memahami situasi sebelum keharmonian kaum dapat dicapai. Pelbagai cara dan langkah telah diambil dalam mengatasi jurang ekonomi antara kaum ini supaya tidak ada lagi salah faham yang boleh beri kesan kepada keharmonian kaum.

Perbezaan penggunaan bahasa juga antara cabaran yang pernah dihadapi kerajaan apabila tidak semua kaum menguasai pelbagai bahasa untuk berkomunikasi. Ini telah melemahkan aspek sosial mereka di mana mampu memberi kesan kepada perpaduan. Maka tidak hairanlah Bahasa Malaysia dijadikan bahasa pengantara di sekolah-sekolah dan bahasa kebangsaan supaya setiap kaum dapat berinteraksi dengan baik serta dapat memupuk hubungan yang baik antara kaum.

Sementara itu, adalah penting bagi kerajaan supaya memastikan keharmonian kaum sentiasa terjamin. Langkah-langkah bagi mengekalkan keharmonian kaum perlu dilakukan secara berterusan kerana cabaran masa kini adalah lebih agresif kerana masyarakat sekarang banyak terdedah dengan kecanggihan teknologi dan dunia luar yang mampu mempengaruhi kehidupan dan pendapat mereka.

Hal ini sangat penting kerana sekiranya kerajaan gagal menjamin keharmonian kaum, pertumpahan darah seperti tragedi 13 Mei 1969 mungkin boleh berulang. Keamanan dan keharmonian yang dirasai kini akan hilang sekelip mata sekaligus ia akan memberi kesan negatif kepada perkara-perkara lain. Segala kemajuan yang diusahakan berpuluh tahun akan hancur jika keharmonian kaum gagal dikekalkan.

Keharmonian kaum adalah kunci kejayaan malaysia

Justeru itu, adalah menjadi tanggungjawab kita sebagai rakyat memastikan keharmonian kaum di Malaysia terus terpelihara dan kekal. Menjaga keharmonian kaum bukanlah tugas kerajaan semata-mata kerana sebagai sebuah negara contoh dalam keharmonian kaum. Bagi mengelakkan sebarang isu perkauman ditimbulkan, adalah penting untuk semua individu mengelakkan daripada mengeluarkan sebarang kenyataan yang berbaur perkauman. Fenomena saling menghina antara kaum juga perlu dihapuskan supaya tidak ada sebarang salah faham akan timbul. Semua pihak perlu tahu dan sedar di mana segala usaha bagi mencapai keharmonian kaum adalah tanggungjawab semua supaya negara kita tidak lagi dijajah oleh kuasa asing.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here