Media memainkan peranan yang penting dalam menyediakan maklumat kepada masyarakat. Kini melalui internet, peranan media semakin mudah, namun semakin mencabar. Kewujudan internet telah membantu mempercepatkan proses penyampaian berita dan segala maklumat lama serta baharu. Media sosial juga menjadikan masyarakat Malaysia lebih peka kepada keadaan sekeliling dan mengeratkan hubungan sesama individu, namun masyarakat harus lebih berhati-hati kerana ada berita palsu direka semata-mata untuk menarik perhatian netizen dan menjadi isu hangat atau trending. Situasi ini sangat membimbangkan kerana ada berita yang bertujuan mewujudkan kebencian dan provokasi dalam kalangan masyarakat berbilang bangsa. Keadaan ini sangat berbahaya kerana boleh menyebabkan Malaysia tidak lagi dihormati di mata dunia, kacau bilau dan akibatnya, rakyat yang akan menanggung kerugiannya.

Tanpa menyedari kesan negatif kandungan berita yang disebarkan, mereka sanggup bertindak untuk menularkan apa saja informasi yang mereka perolehi kononnya untuk menjadi orang pertama yang memaklumkan masyarakat tentang sesuatu perkara tersebut. Akhirnya tindakan melulu tanpa berfikir panjang ini mengundang pelbagai kemudaratan kepada masyarakat dan juga negara. Malah tindakan mereka ini juga boleh menyebabkan diri mereka diburu oleh pihak berkuasa.

Salah satu berita palsu dengan pautan. Penyebaran berita palsu boleh menyusahkan banyak pihak

Selain itu, penyebaran pelbagai berita palsu akan memberi kesan yang mendalam kepada kehidupan masyarakat kita. Penyebaran pelbagai berita palsu tentang isu sensitif membabitkan perpaduan kaum dilihat mula mencetuskan sedikit tekanan dan ketegangan dalam kalangan masyarakat majmuk di negara kita. Sebagai contoh, baru-baru ini timbul satu kes penyebaran berita palsu mengenai pergaduhan antara orang Melayu dan India di Gurun dan Kuala Ketil. Ini pastinya satu persekitaran yang kurang sihat kepada masyarakat kita yang berbilang agama dan bangsa. Bayangkan jika ada anggota masyarakat yang percaya bulat-bulat semua yang mereka baca dalam media sosial. Bukankah ini boleh menjadi provokasi yang bakal mencetuskan ketegangan kaum di negara kita. Jelasnya penyebaran berita palsu seperti ini boleh meruntuhkan kerukunan hidup dan keharmonian masyarakat majmuk yang kita banggakan selama ini. Ia juga sekaligus mengancam keselamatan negara.

Tidak dinafikan kerajaan menggalas cabaran besar untuk menangani berita palsu. Hal ini berlaku akibat kelemahan masyarakat hari ini yang tidak berhati-hati atau meneliti fakta berita yang ditularkan dalam media sosial. Ramai cenderung mempercayai berita palsu yang bertujuan menghasut rakyat membenci kerajaan. Malah, cabaran lebih berat apabila penghasilan berita dan maklumat palsu ditulis secara kemas, menarik serta mengandungi unsur-unsur logik disebarkan secara aktif melalui laman media sosial seperti Facebook sehingga dinilai begitu meyakinkan.

Jangan kongsi berita palsu. Kongsi berita palsu umpama menipu

Kerajaan sebelum ini pernah memperkenalkan Akta Anti Berita Tidak Benar yang bertujuan untuk mendakwa mana-mana pihak yang cuba menyebarkan berita palsu kepada rakyat Malaysia. Akan tetapi, akta tersebut telah dimansuhkan selepas kerajaan Pakatan Harapan melihat akta itu mengulangi banyak peraturan dalam undang-undang sedia ada. Oleh itu, bagi mengatasi masalah penyebaran berita palsu ini, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Polis Diraja Malaysia merupakan pihak yang bertanggungjawab untuk memantau aktiviti penyebaran berita palsu dan bertindak untuk mengesan individu yang menyebarkan berita palsu.

Justeru, seluruh rakyat Malaysia digesa agar lebih bertanggungjawab dalam tingkah laku mereka ketika menggunakan media sosial khususnya dalam meneliti dan menilai mesej yang disebarkan itu. Biarpun cabaran untuk mendidik semua rakyat Malaysia adalah sukar dan memakan masa, akan tetapi perjuangan tersebut tidak boleh terbengkalai di pertengahan jalan. Kesukaran yang dihadapi ini juga tidak harus mematahkan semangat pihak berkuasa seperti SKMM dan PDRM untuk meneruskan program advokasi mereka yang akan memberi impak jangka panjang kepada semua pihak.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here