Kemenangan BN dengan majoriti 3238 dalam PRK Cameron Highlands merupakan ‘amaran awal’ kepada kerajaan PH bahawa rakyat semakin kurang selesa dengan pemerintahan mereka. Kerajaan masih belum boleh membuktikan lagi mengapa rakyat harus mengundi PH. Jika PH menjadikan Buku Harapan sebagai panduan, mungkin naratif yang jelas mengenai pemerintahan negara dapat meyakinkan rakyat. Tetapi pemimpin tertinggi kerajaan sendiri menyatakan ‘manifesto bukan kitab suci’. Oleh itu, bagaimana rakyat mahu yakin bahawa kehidupan mereka akan lebih baik di bawah pemerintahan kerajaan baharu?

Rakyat sudah bosan dengan retorik pemimpin-pemimpin kerajaan yang banyak memainkan isu perkauman, menyalahkan kerajaan terdahulu, ‘u-turn’ setiap isu yang diumumkan dan percanggahan pendapat di antara ahli kabinet. Terbaru mengenai pengumuman pembatalan ECRL. Baru-baru ini beberapa menteri-menteri PH telah mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan berhubung isu berkenaan. Masing-masing ‘berebut-rebut’ mahu mengeluarkan kenyataan. Wajarlah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak ada menyindir bahawa kerajaan PH perlu buka satu ‘group whatsapp’.

Keratan daripada FB milik Najib Razak

PRK Semenyih pada 2 Mac 2019 adalah penentu sama ada rakyat akan terus yakin dengan pemerintahan PH atau akan memberikan mandat kepada parti pembangkang. Semenyih merupakan salah satu kawasan di dalam negeri Selangor dan merupakan kubu kuat PKR. Jika Semenyih jatuh ke tangan pembangkang, adalah wajar untuk kerajaan PH berasa ‘gelisah’ seterusnya memperbaiki mutu pemerintahan mereka.

Secara jujurnya rakyat tertunggu tindakan kerajaan mengenai isu-isu hangat yang dipolemikkan. Mengenai kejadian yang menimpa anggota bomba Muhammad Adib, rakyat mahu tahu apakah tindakan daripada pihak kerajaan? Baru-baru ini mengenai isu Peguam Negara, Tommy Thomas yang dikatakan telah memalukan Jabatan Peguam Negara dan sistem perundangan Malaysia. Tommy dikatakan telah gagal untuk menasihati PM dan Yang di-Pertuan Agong berhubung keperluan tribunal khas bagi menyiasat sama ada wujud salah laku oleh enam anggota SPR. Enam anggota itu dituduh atas kesalahan serius yang dilakukan sebelum dan pada hari mengundi PRU-14. Bidang kuasa tribunal hanya dua, menyiasat salah laku dan jika disabitkan salah, mereka boleh menyingkirkan ahli-ahli SPR. Tetapi kuasa terbabit sudah hilang kuasa kerana enam ahli SPR yang dipertikaikan telah meletakkan jawatan berkuatkuasa 1 Januari 2019, 27 hari sebelum tribunal bermula. Apakah keputusan PRU-14 boleh dianggap sah atau tidak?

Jika dahulu selepas kerajaan PH diberikan mandat untuk menerajui negara, kita dapat lihat betapa terujanya rakyat Malaysia. Masing-masing mengharapkan ‘Malaysia Baharu’. Baharu dari bebanan  tol, kos kenaikan sara hidup akibat cukai, minyak yang akan sentiasa murah, pendidikan percuma dan subsidi diteruskan. Kesudahannya, apakah yang diperolehi oleh rakyat Malaysia? Hanya pemansuhan GST, tetapi digantikan dengan SST, cukai soda, cukai selebriti, kenaikan tariff air dan yang terbaru rebat bagi caj bil elektrik RM20 ke bawah untuk pengguna bukan miskin tegar dimansuhkan.

Rakyat menunggu Kerajaan PH untuk menunaikan setiap manifesto yang terkandung di dalam Buku Harapan

Sikap kebudak-budakan pemimpin-pemimpin kerajaan yang hanya tahu menyalahkan dan mendedahkan keburukan kerajaan terdahulu sehingga terlupa portfolio sendiri wajar dihentikan. Rakyat sudah muak, bak kata orang dahulu ‘nak muntah hijau mendengarnya’ hanya tahu menyalahkan pihak lain, sehingga kesalahan pada diri sendiri tidak nampak. Berubahlah. Rakyat tidak berpuas hati dengan pentadbiran kerajaan yang tidak membawa perubahan yang diharapkan.

Fokus pada manifesto dan janji yang diretorikkan. Jangan menghampakan rakyat dengan politiking yang tidak berkesudahan. Walaupun selalu mendabik dada kononnya rakyat semakin selesa, ekonomi semakin baik, tidak mengapalah ‘sekadar untuk menyedapkan hati’. Ahli politik memang pandai bermain kata-kata. Tetapi pemimpin yang diberikan mandat oleh rakyat, jalankan tugas dan amanah yang diberikan. Rakyat tidak mahu jadi seperti, ‘menang sorak, kampung tergadai’. Kami tidak boleh ‘kenyang’ dengan janji-janji manis.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here