Pihak kerajaan akan membentangkan Akta Perlembagaan (Pindaan) (No 2) 2019 berkaitan perjawatan Perdana Menteri di Dewan Rakyat bagi menghadkan tempoh jawatan ketua kerajaan tersebut kepada dua penggal. Ia juga merupakan usaha untuk melaksanakan janji dalam manifesto Pakatan Harapan pada PRU14 lalu.

Pindaan tersebut dibuat oleh kerajaan bagi mengelakkan Perdana Menteri menyalahgunakan kuasa sekiranya memegang jawatan tersebut dalam masa yang lama. Cadangan sebegini telahpun diguna pakai oleh kerajaan Amerika Syarikat yang hanya membenarkan Presiden memegang jawatan selama dua penggal sahaja.

Cadangan hadkan tempoh PM akan dibentangkan di Dewan Rakyat

Langkah kerajaan tersebut merupakan satu usaha positif bagi amalan semak dan imbang dalam percaturan politik serta pentadbiran negara. Sekiranya seorang pemimpin menjadi Perdana Menteri terlalu lama, pemimpin tersebut akan terdedah kepada penyelewengan dan salah guna kuasa sepanjang menjadi Perdana Menteri.

Malah, dua penggal yang dipegang sudah cukup untuk melaksanakan segala dasar dan polisi kerajaan bagi merancakkan kemajuan serta pembangunan negara. Selepas sahaja mereka berundur, pemimpin lain pula akan menambahbaik polisi negara tersebut sejajar dengan kemajuan yang telah diperoleh.

Walau bagaimanapun, wujud juga kebimbangan jika pengganti Perdana Menteri tidak mahu meneruskan dasar yang telah digunakan dan membawa idea mereka sendiri. Ia boleh mewujudkan ketidakstabilan dalam pemerintahan dan politik negara kerana membawa dasar yang berbeza-beza. Ia juga mampu membuatkan pelabur asing tidak yakin untuk melabur di Malaysia kerana tidak tahu pelaburan mereka mampu bertahan dalam jangka masa panjang kerana berlaku peralihan kuasa.

Perdana Menteri akan memegang jawatan tersebut selama 2 penggal sahaja

Di samping itu, langkah kerajaan ini disambut baik oleh netizen yang merasakan tempoh dua penggal sudah memadai untuk menjadi Perdana Menteri bagi mengelakkan pemimpin menjadi gila kuasa. Netizen juga berharap langkah tersebut dapat memastikan Perdana Menteri mampu menjalankan kerja dengan baik kerana jawatan tersebut boleh diganti dengan pemimpin lain jika tidak menunjukkan prestasi yang baik.

Justeru, langkah kerajaan ini bagus dalam memastikan semak dan imbang politik negara bagi mengelakkan pemimpin yang dilantik menjadi gila kuasa hingga menyalahgunakan jawatan untuk kepentingan peribadi. Tempoh dua penggal juga sudah memadai untuk melaksanakan dasar dan polisi negara serta memberi peluang kepada pemimpin baru bagi melaksanakannya dalam jangka masa panjang. Ianya harus dilakukan demi menjaga kestabilan politik pada masa akan datang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here