Kementerian Pengangkutan telah mengumumkan bahawa penggunaan kerusi keselamatan kereta kanak-kanak atau bahasa pasarnya child carseat akan diwajibkan bermula Januari 2020 di dalam kenderaan bagi mengelakkan sebarang kecederaan serius sekiranya berlaku kemalangan.

Child car seat yang akan digunakan di Malaysia juga harus mengikut standard yang telah ditetapkan oleh United Nation Regulation iaitu R44 dan R129. Perkara ini telah menimbulkan kegusaran dalam kalangan ibu bapa yang sudah membeli child car seat yang tiada surat kelulusan komponen (CTA) di mana kerusi tersebut tidak lulus untuk digunakan.

Namun, bagi child car seat yang masuk sebelum 1 Januari 2020 tidak memerlukan kelulusan CTA dan secara automatiknya penggunaan car seat yang tiada kelulusan CTA ini tidak akan disaman.

Dengan penggunaan child seat yang betul, anak atau bayi akan melekat di tempat duduknya walaupun kereta tersebut berpusing atau bergolek

Pelaksanaan dasar ini sedikit sebanyak dapat mendisiplinkan ibu bapa yang kurang mengambil berat tentang kepentingan penggunaan child car seat ini. Apa yang lebih penting, pelaksanaan dasar ini mampu membantu mengurangkan impak pelanggaran kepada penumpang kanak-kanak dan seterusnya mengelakkan kecederaan parah dan kematian.

Namun, terdapat ibu bapa merasa terbeban dengan pelaksanaan dasar ini kerana memikirkan kos yang perlu ditanggung jika mempunyai jumlah anak yang ramai serta jenis kenderaan yang digunakan untuk menempatkan child car seat tersebut.

Malah apa yang lebih merunsingkan ibu bapa apabila penguatkuasaan dasar itu bermula pada bulan Januari yang sememangnya bulan di mana ibu bapa bergelut untuk menyediakan keperluan persekolahan seperti yuran, pakaian dan peralatan sekolah anak-anak.

Ada juga masyarakat yang berpendapat bahawa pelaksanaan ini merupakan agenda untuk menguntungkan peniaga dan menyusahkan golongan B40 terutamanya apabila terpaksa berdepan dengan peningkatan kos sara hidup.

Kerajaan perlu mengecualikan cukai SST terhadap produk ini agar ianya mampu dimiliki oleh masyarakat

Oleh itu, kerajaan perlu mempertimbangkan beberapa perkara agar dasar ini tidak menjadi satu bebanan kepada masyarakat. Kerajaan perlu mengecualikan cukai SST terhadap produk ini agar harganya lebih murah di pasaran. Selain itu, galakkan syarikat-syarikat swasta untuk mengadakan program amal bagi membantu golongan B40 yang langsung tidak mampu untuk membeli kerusi keselamatan kepada anak-anak mereka.

Walaupun pelaksanaan dasar ini masih lagi tidak mendapat sokongan sepenuhnya daripada masyarakat, keprihatinan kerajaan ini wajar dipuji kerana insiden kemalangan yang menyebabkan kanak-kanak sehingga tercampak keluar dari kenderaan semakin kerap berlaku. Menerusi dasar ini, sekurang-kurangnya ia merupakan satu usaha untuk mengurangkan impak kecederaan dan kematian terhadap kanak-kanak yang terlibat dalam kemalangan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here