Saban hari, masyarakat di Malaysia sentiasa disajikan dengan penyebaran berita-berita palsu, malah ada yang mudah terpengaruh dan percaya kepada berita tidak sahih ini. Apatah lagi dengan kemudahan teknologi pada masa kini, sudah tentu penyebaran berita palsu lebih mudah berlaku. Namun, apa yang lebih mengecewakan adalah kes penyebaran berita palsu berlaku dengan agak berleluasa ketika negara sedang berhadapan krisis Covid-19.

Namun, tindakan pantas kerajaan dalam menangani dan mengawal keadaan berkaitan isu ini dilihat semakin positif. Jika sebelum ini orang ramai tidak peka serta mudah percaya dengan berita yang disebarkan melalui internet, kini rakyat semakin sedar dengan bahayanya berita palsu.

Ia dapat dibuktikan melalui laporan yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) apabila tiada kertas siasatan baharu dibuka membabitkan kes berita palsu berkaitan COVID-19.

Sehingga 4 Jun sebanyak 266 kertas siasatan dibuka PDRM dan SKMM

Walaupun penyebaran berita palsu masih berlaku, tetapi perkembangan ini menunjukkan masyarakat kita kini semakin bijak menilai kesahihan berita yang tersebar. Sehubungan itu, ini adalah satu perkembangan yang baik apabila rakyat semakin sedar betapa bahayanya berita palsu kepada kesejahteraan negara.

Laman web rasmi kerajaan, pengumuman menteri atau individu profesional dan media cetak serta elektronik adalah antara sumber yang boleh dipercayai. Jadi, adalah lebih baik jika orang ramai mencari kesahihan sesuatu berita tersebut melalui sumber-sumber seperti ini.

Tanpa kita sedar, krisis kesihatan yang dihadapi negara telah menyebabkan kita lebih berhati-hati mendapatkan informasi. Oleh itu, adalah penting untuk rakyat terus mengamalkan sikap seperti ini supaya gelaja penyebaran berita palsu dalam kalangan masyarakat kita dapat diatasi.

Justeru itu, permasalahan ini hanya dapat ditangani jika usaha kerajaan mendapat kerjasama orang ramai. Walaupun masih ada golongan yang menyebarkan berita palsu, orang ramai perlu bertindak dengan menyemak terlebih dahulu kesahihan berita tersebut. Langkah kecil ini mampu memberi impak kepada kesejahteraan negara sekaligus memberi imej yang baik kepada kita sebagai rakyat Malaysia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here