Tahukah anda bahawa pihak kerajaan akan mula memperkenalkan duti eksais untuk minuman bergula. Hal ini kerana ia adalah salah satu usaha untuk membudayakan gaya hidup sihat dan menangani penyakit tidak berjangkit di kalangan rakyat di negara ini.

Cukai ini dijangka akan dilaksanakan pada Julai tahun ini dan kadar cukai yang akan dikenakan adalah sebanyak 40sen seliter dan ia akan dikenakan terhadap minuman bergula yang telah dikilangkan dalam bentuk pembungkusan yang sedia diminum.

Menurut Menteri Kewangan, Lim Guan Eng cukai minuman bergula ini hanya melibatkan minuman yang mengandungi gula tambahan atau bahan pemanis lain melebihi 5 gram per 100 mililiter serta jus buah-buahan dan sayur-sayuran yang mengandungi gula melebihi 12 gram per 100 mililiter.

Antara air minuman bergula yang menjadi pilihan rakyat Malaysia

Walau bagaimanapun, kita melihat cadangan kerajaan untuk mengenakan cukai minimum ke atas minuman bergula diimport atau diproses di kilang tempatan adalah sebagai satu langkah praktikal bagi mengawal pengambilan gula di kalangan rakyat. Cadangan itu juga merupakan langkah jangka panjang secara berterusan bagi menghindari penyakit akibat daripada pengambilan gula berlebihan seperti kencing manis.

Tambahan lagi tindakan memperkenalkan cukai ke atas minuman bergula ini juga mampu untuk meningkatkan pendapatan negara. Cukai ini akan memperluaskan lagi asas pendapatan atau hasil negara selain daripada kutipan cukai SST.

Selain itu, Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir juga telah menyatakan bahawa kerajaan akan menggunakan sebahagian hasil yang dikutip daripada cukai tersebut bagi menjalankan program sarapan berkhasiat dan percuma kepada semua kanak-kanak sekolah rendah. Ia sekaligus akan memberikan manfaat yang baik buat para pelajar di sekolah serta dapat melahirkan pelajar yang sihat supaya dapat menunjukkan prestasi yang baik di sekolah.

Pandangan rakyat Malaysia terhadap perlaksanaan cukai ini rata-rata di kalangan mereka adalah sangat negatif dan tidak bersetuju dengan cadangan tersebut. Pengenaan cukai baharu itu nampaknya telah mengundang kemarahan rakyat. Rakyat baru sahaja belajar mengenal Cukai Jualan Dan Perkhidmatan (SST) yang dilaksanakan kerajaan Pakatan Harapan selepas dibebani dengan teruk oleh kerajaan Barisan Nasional melalui Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Kempen kurangkan pengambilan gula perlu diteruskan untuk mendidik rakyat mengamalkan gaya hidup sihat

Memang tidak dapat dinafikan sekiranya cukai ini dilaksanakan, ia akan menyebabkan harga barang lain dan kos sara hidup rakyat semakin meningkat. Justeru itu, kaedah terbaik untuk menyedarkan orang ramai supaya mengurangkan pengambilan gula adalah dengan cara mendidik mereka. Pihak kerajaan perlu mendidik untuk memberikan kesedaran kepada orang ramai tentang kepentingan menjaga kesihatan serta keburukan tidak menjaga kesihatan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here