Bermula kelmarin (1 Julai 2019), berlakulah satu transisi baru dalam dunia percukaian Malaysia. Ya, cukai soda telah mula dikuatkuasakan pada Isnin lalu seiring dengan cadangan kerajaan untuk mengurangkan pengambilan makanan dan minuman bergula di kalangan rakyat Malaysia. Cukai soda merupakan satu duti eksais secara tidak langsung yang dikenakan ke atas produk yang dikeluarkan oleh pengilang atau pengeluar. Cukai ini secara amnya dikenakan ke atas minuman bergula dengan kadar ambang yang ditetapkan (threshold).

Di antara tujuan utama pelaksanaan cukai soda ini adalah untuk menggalakkan rakyat Malaysia menjalani gaya hidup yang sihat terutamanya dalam pengambilan minuman bergula. Bukan itu sahaja, pelaksanaan cukai ini juga dilihat sebagai langkah yang tepat dalam mengurangkan kos perubatan penyakit kronik yang ditanggung oleh kerajaan pada masa ini. Bahkan, objektif pelaksanaan cukai soda ini dikatakan mampu menjana pendapatan negara bagi menampung kekurangan kutipan cukai selepas Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dimansuhkan.

Pelaksanaan cukai soda dikatakan untuk menampung kekurangan kutipan cukai GST yang dimansuhkan

Secara zahirnya, pelaksanaan cukai soda ini memberi banyak manfaat dan kebaikan kepada kerajaan dan juga rakyat Malaysia. Antara kebaikan dan manfaat yang dapat dilihat adalah dari segi gaya dan amalan hidup sihat yang diamalkan oleh rakyat negara ini. Hal ini dapat dilihat apabila sebilangan besar rakyat Malaysia kini mula menjalani gaya pemakanan yang sihat serta mengurangkan pengambilan makanan dan minuman bergula dalam diet harian mereka.

Selain itu, pelaksanaan cukai ini juga dapat memberikan manfaat kepada kerajaan dari segi tanggungan kos perubatan seperti yang dinyatakan sebelum ini. Hal ini kerana pada tahun ini sahaja kerajaan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memperuntukkan sejumlah RM29 bilion untuk perkhidmatan kesihatan di Malaysia bagi menampung kos rawatan penyakit kronik seperti diabetes, sakit jantung dan kanser dan ia merupakan peruntukan yang tertinggi berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Pelaksanaan cukai soda yang dikuatkuasakan oleh kerajaan sememangnya memberikan impak yang besar terhadap ekonomi negara. Akan tetapi, ia mungkin tidak memberikan kesan mendalam terhadap rakyat. Ini kerana cukai yang dikenakan bersifat “sembunyi” dan rakyat tidak akan perasan caj yang dikenakan apabila mereka membeli barangan atau produk yang berkaitan.

Pengambilan terlalu banyak minuman bergula boleh menyebabkan kerosakan buah pinggang akibat diabetes

Namun, impak kepada negara mungkin sedikit terganggu akibat kurangnya permintaan pasaran terhadap produk atau berkenaan dan akan menyebabkan pendapatan negara sedikit merudum. Ini boleh dibuktikan melalui sentimen pasaran yang memberi respon kepada pelaksanaan cukai baru apabila kaunter seperti Nestle merosot sebanyak RM0.70 kepada RM148.40, F&N menurun sebanyak 16 sen kepada RM34.30 dan Dutch Lady menurun sebanyak 10 sen kepada RM63.90.

Melalui pemerhatian yang dilakukan terhadap platform-platform media sosial mendapati sebilangan besar rakyat Malaysia menyambut baik usaha kerajaan ini demi untuk meningkatkan kualiti kesihatan masyarakat negara ini. Hal ini kerana mereka merasa terbeban dengan kos perubatan yang semakin meningkat. Jadi, melalui kaedah ini mereka akan lebih berjimat selain dapat menghindarkan diri dari penyakit-penyakit kronik.

Walau bagaimanapun, tidak kurang juga ada segelintir pihak yang mempersoalkan kerelevenan pelaksanaan cukai soda ini terhadap semua rakyat memandangkan cukai tersebut hanya dikenakan terhadap produk atau bahan yang berkaitan sahaja dan bukan secara keseluruhannya serta ianya tidak ubah seperti pelaksanaan kenaikan harga gula seperti kerajaan dahulu. Oleh itu, mereka berpandangan pelaksanaan cukai ini sebagai langkah sia-sia kerajaan dan hanya akan menyebabkan pertumbuhan ekonomi Malaysia terbantut.

Pelaksanaan cukai soda ini dilihat sebagai langkah proaktif kerajaan dalam melestarikan kehidupan rakyat agar lebih sejahtera dan sihat. Walaupun dari segi ekonomi memperlihatkan sedikit penurunan terhadap pendapatan negara, namun ia tidak memberi kesan yang mendalam berikutan adanya pelaksanaan cukai dari sumber lain. Kerajaan pada hari ini amat mementingkan kesihatan dan kesejahteraan rakyatnya agar sentiasa produktif dalam merealisasikan kemampatan ekonomi negara setanding dengan negara-negara maju yang lain.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here