Malaysia telah mencatat kemajuan yang luar biasa dalam mengurangkan kemiskinan kewangan yang melampau dengan hanya kurang daripada satu peratus isi rumah yang hidup di bawah garis kemiskinan nasional.

Namun hakikatnya, masih lagi terdapat 28 daerah yang diklasifikasikan sebagai daerah miskin di negara ini. Antara daerah yang telah dikenal pasti sebagai daerah miskin ialah di Tumpat, Kelantan, Yan di Kedah dan beberapa daerah di Sabah dan Sarawak. Daerah ini dikenalpasti sebagai daerah miskin di negara ini adalah kerana mempunyai pendapatan isi rumah kurang daripada RM4,000 sebulan.

Dalam mengejar kepesatan pembangunan dan ke arah revolusi Industri 4.0, mengapa masih lagi wujud daerah dan masyarakat yang terpinggir serta terhimpit dalam kemiskinan? Walaupun dari segi perbandingan dengan negara-negara sedang membangun yang lain, prestasi negara kita agak baik namun hakikatnya masih gagal menghapuskan jurang kemiskinan.

Prestasi negara yang baik masih lagi tidak mampu menghapuskan jurang kemiskinan

Pelbagai faktor yang boleh dikaitkan dengan kemiskinan antaranya ketidakupayaan fizikal dan mental, aktiviti ekonomi yang tidak produktif, budaya fikiran yang mundur serta sistem ekonomi yang tidak adil. Dari segi dasar, kerajaan telah banyak berusaha untuk mengurangkan jurang kemiskinan.

Namun, pada ketika ini kebanyakkan rakyat Malaysia sering merasakan yang kaya semakin kaya dan yang miskin semakin miskin. Perkara ini dibuktikan melalui 2018 Pew Global Survey yang menyatakan 77% rakyat Malaysia merasakan jurang pendapatan merupakan satu masalah besar di Malaysia.

Kewujudan kerajaan baharu ketika ini dilihat masih tidak membawa apa-apa perubahan yang ketara, contohnya janji ketika kempen pilihan raya untuk mewujudkan gaji minimum RM1,500 masih gagal dilaksanakan kerana tekanan pihak majikan. Manakala kerajaan juga telah menswastakan hampir semua perkhidmatan awam termasuk air, elektrik dan pengangkutan malahan dalam belanjawan 2019 juga diberi petunjuk bahawasanya perkhidmatan kesihatan juga bakal diswastakan.

Oleh disebabkan itu, masyarakat luar bandar semakin dihimpit kemiskinan dan gologan-golongan ini boleh dikatakan ‘terlepas pandang’ kerana kerajaan lebih mengutamakan golongan miskin bandar daripada luar bandar. Hakikatnya, mereka adalah golongan yang perlu diberi perhatian kerana masih lagi tinggal di rumah usang yang mengalami masalah bekalan air dan elektrik malahan anak-anak mereka juga tercicir daripada sesi persekolahan.

terdapat anak-anak miskin yang tercicir dari sesi persekolahan

Justeru itu, kerajaan perlu memberi tumpuan untuk melaksanakan program pembangunan ekonomi di daerah-daerah miskin tersebut merangkumi program pembangunan infrastruktur, peningkatan pendapatan dan pendidikan bagi membolehkan penduduk di daerah miskin dapat keluar dari kepompong kemiskinan.

Kaedah pembasmian kemiskinan seperti menggabungkan kaedah-kaedah kewangan, ekonomi dan sosial seperti memberi bantuan kewangan (BSH), meningkatkan pendapatan mereka dengan mewujudkan peluang pekerjaan serta perniagaan perlu diperhebatkan agar dapat membaiki mutu kehidupan mereka. Kerajaan perlu memberi pinjaman tanpa faedah kepada golongan miskin ini untuk menggalakkan mereka menceburi bidang keusahawanan agar dapat menjana ekonomi keluarga dan daerah tersebut.

Keperluan dalam meningkatkan sosio-ekonomi masyarakat di daerah miskin perlu diberi keutamaan agar dapat merapatkan jurang pendapatan di negara ini sekaligus menjamin kesejahteraan rakyat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here