Setiap kanak-kanak adalah permata berharga kerana menjadi tunjang utama dan aset bernilai untuk pembangunan negara. ‘Permata-permata’ bernilai ini amat penting untuk dipelihara agar dapat merealisasikan visi dan misi negara sekaligus menjadi kebanggaan Malaysia. Melihat kepada kepentingan kanak-kanak ini, Datin Seri Rosmah Mansor mewujudkan program Permata Negara (PERMATA) 13 tahun lalu.

PERMATA diwujudkan sebagai salah satu platform untuk mengasah bakat dan potensi kanak-kanak dan remaja dari semua peringkat. PERMATA bukan hanya sebuah pendidikan awal kanak-kanak malahan telah berkembang jauh dengan tertubuhnya Permata Kurnia untuk anak-anak autisme, PERMATA Pintar untuk anak-anak yang punyai kecerdasan luar biasa, PERMATA Insan untuk anak-anak yang pintar dalam agama dan sains, PERMATA Seni untuk anak-anak yang punyai bakat seni yang tinggi, Hospital Kanak-Kanak PERMATA dan Perkasa Remaja program permerkasaan remaja berisiko tinggi.

PERMATA merupakan projek perintis yang dicetuskan oleh penggerak utamanya iaitu Datin Seri Rosmah Mansor

PERMATA melakar sejarah kepada negara apabila berjaya menerima anugerah antarabangsa iaitu Anugerah Global Good Governance di dalam kategori 3G Children Welfare.

Penganugerahan 3G ini ialah anjuran Cambridge IF Analytica iaitu sebuah badan yang mengiktiraf kerajaan, sektor korporat dan organisasi bukan kerajaan (NGO) yang menunjukkan prestasi yang tinggi dan mempamerkan kecemerlangan di dalam ketelusan, tadbir urus yang baik dan tanggungjawab sosial.

Bukan itu sahaja, seorang bekas peserta Program Permata Pintar berjaya melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana di Amerika Syarikat (AS) sudah cukup membuktikan program PERMATA ini berjaya menghasilkan siswazah berkualiti tinggi.

Terbaru, kabinet bersetuju untuk menukar nama Program Permata Negara kepada Genius. Penukaran nama tersebut adalah untuk memberikan satu jenama baharu supaya lebih berdaya saing dan bersemangat. Walau bagaimanapun, fungsi dan peranannya masih sama namun beberapa program akan dipertingkatkan kualitinya.

Tindakan Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik mengumumkan penjenamaan semula PERMATA mencetuskan riuh rendah di media sosial yang ‘membawang’ mengenai pertukaran nama tersebut. Bukan sahaja netizen mengecam ‘rebranding’ PERMATA, malahan Prof Emeritus Datuk Dr Nik Safiah Karim juga mengkritik tindakan tersebut kerana pemberian nama kepada Genius menunjukkan kemiskinan bahasa.

Tambahan lagi, bagi sesetengah pihak, program PERMATA ini tiada cacat celanya dan tiada keperluan untuk diberi penjenamaan semula. Hal ini mengundang kekesalan masyarakat yang menyifatkan penjenamaan semula ini hanya sebagai ‘perubahan kosmetik’.

PERMATA diwujudkan sebagai salah satu platform untuk mengasah bakat dan potensi kanak-kanak dan remaja dari semua peringkat

Perkataan PERMATA amat bersesuaian dengan program yang dijalankan dan menepati falsafah pendidikan program tersebut. PERMATA bukan sahaja lembut sebutannya malah mempunyai nilai yang sangat tinggi bukan sahaja dari segi bahasa tetapi juga mempunyai nilai yang sangat tinggi dari pengertiannya. Jadi, tiada keperluan untuk penjenamaan semula PERMATA yang hanya akan merugikan negara kerana penjenamaan semula ini juga akan melibatkan kos dari segi percetakan dan sebagainya.

Justeru itu, seharusnya perdebatan politik tidak menjadi penghalang kemajuan negara. Jurang perbezaan politik tidak harus menjadi garis pemisah untuk program yang baik terutamanya program untuk anak bangsa Malaysia.

Manfaat program PERMATA ini tidak boleh dinafikan terutamanya dalam usaha membangunkan modal insan negara pada masa hadapan. Sewajarnya kerajaan menumpukan kepada penambahbaikan program ini dengan cetusan idea-idea yang bernas agar kemajuan program ini dapat dipertingkatkan daripada membuat perubahan yang kurang signifikan dan tidak memberi makna yang besar terhadap rakyat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here