Adalah menjadi tanggungjawab sesebuah kerajaan dalam membentuk dan mencorakkan masa depan negara ke arah lebih baik untuk generasi akan datang menikmatinya. Demi mencapainya, hala tuju masa depan golongan muda adalah terletak di tangan generasi yang ada dan kerana itulah kerajaan telah memperkenalkan pelbagai dasar untuk rakyat.

Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad telah menggariskan matlamat jelas iaitu akan menjadikan Malaysia sebagai negara maju dengan dasar yang baik. Oleh kerana itu, kerajaan Malaysia telah memperkenalkan hampir 22 dasar negara seperti Dasar Keusahawanan Nasional, Dasar Perumahan Mampu Milik Negara, Dasar Pembangunan Luar Bandar dan banyak lagi.

Generasi sekarang perlu mencorakkan hala tuju negara demi generasi muda- Rina Harun

Dasar-dasar tersebut adalah penting kerana ia akan menggariskan asas Malaysia yang baharu untuk meningkatkan produktiviti di semua peringkat, menggalakkan pelaburan berkualiti, memastikan pertumbuhan ekonomi jangka panjang dan membantu industri berkembang dengan lebih baik. Kesemua ini akan menjadikan Malaysia sebagai negara maju dalam pelbagai bidang dan pada masa yang sama dapat membantu meningkatkan ekonomi rakyat.

Akan tetapi, kerajaan tetap akan menghadapi pelbagai cabaran dalam melaksanakan dasar-dasarnya dan antara cabaran utama adalah membabitkan kewangan negara. Di sebalik cabaran ekonomi pada masa kini, Malaysia juga turut menerima tempiasnya. Kejatuhan wang Ringgit, harga minyak tidak menentu dan kekurangan pelaburan asing masuk ke Malaysia boleh menjejaskan langkah kerajaan untuk melaksanakan dasar-dasar untuk negara serta rakyat tersebut.

Maka, kerajaan perlu mempunyai barisan Menteri yang berpengalaman dan berupaya untuk menstabilkan negara supaya dapat menarik pelabur asing ke dalam Malaysia seterusnya mampu mengukuhkan mata wang negara. Barisan Menteri itu juga perlu berupaya untuk menyampaikan dasar-dasar yang diperkenalkan agar ianya dapat dilaksanakan dengan baik tanpa kelompangan dari segi salah guna kuasa serta rasuah.

Dasar kerajaan perlu disampaikan agar generasi muda dapat menikmatinya kelak

Ini kerana dasar-dasar baru yang diperkenalkan kerajaan mampu membuka ruang kepada rakyat untuk menceburi bidang baru seperti aeroangkasa, teknologi hijau dan sebagainya. Ia akan meyakinkan rakyat dengan dasar yang diperkenalkan kerana rakyat akan mendapat manfaat seperti peluang pekerjaan, mampu memiliki rumah sendiri, dapat menceburi bidang keusahawanan, dan dapat membantu golongan dari luar bandar.

Justeru, amat penting untuk kerajaan memastikan dasar-dasar yang diperkenalkan dapat dilaksanakan kerana ianya adalah untuk generasi akan datang juga. Sekaranglah masa untuk kerajaan menyampaikan amanah yang dipertanggungjawabkan supaya negara dapat mencapai visi untuk menjadi negara maju serta ekonomi mampan untuk masa akan datang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here