Budaya debat semakin diterima oleh parti politik di negara kita memandangkan kini masanya untuk setiap orang bersuara, budaya menegakkan ideologi, visi dan misi perlu disuburkan secara berhemah agar boleh dinilai oleh semua pihak melalui debat politik ini. Tidak ada cara lain boleh dilakukan, hanya dengan cara berdebat sahaja setiap parti politik boleh menyuarakan pendapat dan pandangan serta sikap individu yang menawarkan diri dalam debat tersebut.

Oleh itu, untuk menjadikan Malaysia sebagai negara yang kompetitif, negara berperanan penting memastikan demokrasi sihat tanpa menghalang mana-mana pihak untuk bersuara asalkan menggunakan saluran yang betul. Tambahan lagi, debat ini bukan sahaja akan menampakkan personaliti pemimpin parti malah akan menukarkan manifesto dari janji kosong kepada ayat lebih kukuh. Ia sekaligus menjadi medan terbaik untuk menyalurkan maklumat lebih-lebih lagi kepada masyarakat.

Berdebat secara ilmiah, bukan cakap kosong

Debat ini juga akan membolehkan setiap parti politik mengemukakan idea bernas berasaskan kemampuan serta pengalaman masing-masing untuk menerajui parti. Ia bukan semata-mata pemimpin parti politik ingin menunjuk bijak dan bangga diri. Debat tersebut dilihat sebagai perbincangan antara ahli dan pemimpin politik untuk membincangkan masa depan dan hal tuju parti serta perancangan parti apabila sudah menjadi pemimpin dan siapa yang mempunyai perancangan terbaik untuk membawa parti ke hadapan.

Selain itu, debat politik adalah medium melontarkan buah fikiran untuk dinilai rakyat dalam usaha mewujudkan budaya politik sihat. Dengan berkembangnya debat politik seperti ini, rakyat akan lebih matang berpolitik, dapat memilih parti terbaik untuk menentukan hala tuju negara dan membolehkan rakyat berinteraksi secara terbuka dan menyuarakan keprihatinan mereka mengenai manifesto yang dikemukakan.

Elak bertelagah, bergaduh sesama sendiri semasa berdebat

Terdapat segelintir pemimpin parti politik memberi reaksi positif dengan menyokong debat politik tidak mendatangkan keburukan atau memecah belahkan parti. Debat tersebut hanya bertujuan membolehkan ahli-ahli mendapatkan pandangan daripada pemimpin mereka mengenai isu semasa dan mengenali mereka dengan lebih dekat. Selain itu, ia memberi peluang kepada ahli dan pemimpin saling bertukar-tukar pandangan tentang pelbagai isu yang bakal diketengahkan.

Namun, ada juga sesetengah pemimpin yang tidak menyokong debat dilakukan secara umum kerana dikhuatiri hanya akan mendedahkan pelbagai perkara dalaman yang sensitif. Bersikap terlalu terbuka hanya akan memudaratkan perjuangan parti. Jika kita bertindak berlebihan dibimbangi hanya akan membawa lebih banyak keburukan daripada kebaikan kepada parti. Dalam demokrasi yang matang, negara kita tidak boleh menghalang pemimpin parti daripada mengambil bahagian. Ini perkembangan yang sihat terhadap demokrasi dan satu peluang untuk memperjelaskan tentang perbezaan kita. Ahli politik tidak boleh mengelak sentimen penyokong mereka dan memang bersifat semulajadi untuk mereka menaruh harapan agar pemimpin masing-masing mengeluarkan hujah bernas, lebih-lebih lagi membabitkan isu kepentingan bersama.

Justeru itu, sebarang usaha untuk mengadakan perdebatan yang sihat antara pemimpin politik untuk menyuarakan pandangan atau dasar amat digalakkan untuk kebaikan semua pihak khususnya masyarakat. Walau bagaimanapun, perdebatan seperti ini tidak boleh digunakan sebagai platform untuk memarahi orang lain atas apa juga sebab. Jika tidak, ia tidak akan membawa apa-apa makna. Setiap orang yang mengambil bahagian dalam debat ini mesti memahami tujuan perdebatan. Bahasa bukanlah satu masalah memandangkan pendebat boleh menyuarakan hujah dalam bahasa ibunda mereka dan terjemahannya boleh dilakukan oleh penterjemah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here