Lawatan kerja Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan delegasi Malaysia selama empat hari ke Turki bermula 24 sehingga 28 Julai lalu nyata membawa ‘hasil lumayan’. Ini selepas negara Asia Eropah itu bersetuju untuk menjalinkan kerjasama secara terbuka dari sektor dagangan dan teknologi pembuatan dengan Malaysia demi memacu ekonomi dua hala di antara kedua-dua negara tersebut.

Malah, dalam rangka lawatan itu juga Tun Mahathir merancang untuk menjalinkan kerjasama dengan syarikat dari Turki dalam pembuatan ‘super car’ bagi meningkatkan lagi keupayaan industri automotif negara selain mengkaji kerjasama dalam industri pertahanan dengan Turki dalam usaha ke arah menghasilkan produk ketenteraan sendiri.

Tambahnya, Turki telah menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan Malaysia dalam memberikan akses teknologi termasuk mengambil jurutera Malaysia dalam pelbagai bidang seperti pembuatan dan lain-lain lagi bagi memberi peluang kepada mereka untuk mempelajari tentang selok-belok kecanggihan industri dan teknologi negara tersebut.

Malaysia merancang jalin kerjasama dengan Turki dalam pembuatan ‘super car’

Apa yang pasti, lawatan Tun Mahathir bersama delegasi Malaysia ke Turki sememangnya membuka banyak ruang pelaburan buat Malaysia. Hal ini didorong oleh hubungan diplomatik yang sekian lama terbina sejak tahun 1964 selain jalinan dagangan yang kukuh. Pada tahun 2018, jumlah dagangan antara kedua-dua negara mencatatkan RM9.79 bilion. Eksport Malaysia ke Turki mencecah RM7.97 bilion, sementara import dari Turki berjumlah RM1.82 bilion. Ini menguatkan lagi kepercayaan Malaysia terhadap Turki sekiranya kerjasama ini berjaya dilaksanakan.

Selain industri teknologi dan pembuatan, antara bentuk pelaburan atau kerjasama lain yang boleh dijalankan antara Malaysia dan Turki adalah dari sektor pelancongan. Ini kerana Turki merupakan salah sebuah destinasi percutian yang berjaya menarik sejumlah besar pelancong asing untuk datang ke negara tersebut.

Persatuan Agensi Pelancongan Turki (TURSAB) merekodkan kehadiran 40 juta pelancong pada 2018, meningkat 22 peratus berbanding 2017 dan itu belum termasuk dengan jumlah dari industri pelancongan perubatan dan pelancongan halal. Malah, Indeks Pelancongan Muslim Global (GMTI) 2019 turut melaporkan Turki diletakkan di tempat ketiga sebagai destinasi pelancongan yang melaksanakan kepatuhan Islam (kepatuhan halal) selepas Indonesia dan Malaysia. Oleh itu, negara-negara Islam kecil seperti Malaysia harus menggunakan peluang ini untuk mempelajari seterusnya bekerjasama bagi memanfaatkan ekonomi dan industri pelancongan Malaysia pada masa kini.

Malaysia disarankan untuk menjalinkan kerjasama dengan Turki dari segi sektor pelancongan

Ternyata, kerjasama antara Malaysia dan Turki akan mendatangkan manfaat kepada kedua-dua buah negara. Antara manfaat yang diperoleh dari kerjasama ini adalah pembangunan ekonomi negara-negara Islam yang giat diperkukuhkan. Di kala negara-negara dunia memboikot ekonomi Turki, kerjasama dua hala ini membuktikan tiada apa yang dapat menghalang untuk Malaysia mengeratkan lagi hubungan dagangan dan pelaburan bersama Turki.

Di samping itu, manfaat lain yang diperolehi menerusi kerjasama terbabit sudah semestinya dari kecanggihan teknologi yang diberikan. Bukan mudah untuk sesebuah negara asing memberi akses penuh terhadap kecanggihan teknologi negara mereka. Dengan kerjasama ini, ia cukup membuktikan bahawa Turki telah meletakkan kepercayaan sepenuhnya terhadap Malaysia dalam mengendalikan teknologi mereka.

Justeru, kerjasama di antara Malaysia dan Turki dilihat amat penting buat negara ini kerana Turki merupakan salah sebuah negara Islam yang mempunyai kuasa besar dan mampu untuk menyalurkan bantuan dari segi kepakaran dan juga kecanggihan teknologi. Hal ini amat penting buat Malaysia dalam memperkukuhkan ekonomi dan secara tidak langsung dapat mempromosikan Malaysia sebagai lokasi pelaburan dan sebagai hab perniagaan di Asia Tenggara.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here