Kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim pada 17 Disember lalu bukan sahaja merenggut hati ahli keluarga dan bakal isteri tercinta, tetapi ia juga memberi impak yang besar terhadap rakyat Malaysia. Bahkan, seluruh rakyat negara ini meratapi pemergian beliau setelah 20 hari bertarung nyawa akibat menjadi mangsa rusuhan di Kuil Seafield Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, 27 November 2018.

Akibat kematian anggota bomba tersebut, satu himpunan bakal diadakan pada hari Jumaat, 21 Disember 2018 bertempat di perkarangan Masjid Putrajaya, Putrajaya. Himpunan yang dikenali sebagai “SOLIDARITI HIMPUNAN SUARA UMMAH #JUSTICE4ADIB” ini dianjurkan oleh Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) bagi menuntut keadilan ke atas kematian Muhammad Adib dan mendesak supaya Menteri Perpaduan, Senator P. Waytha Moothy dan Exco Kerajaan Negeri Selangor, V. Ganabatirau meletak jawatan susulan daripada kenyataan kontroversi yang dikeluarkan oleh mereka hingga menyebabkan rusuhan tercetus di kuil tersebut.

Poster Himpunan Solidariti Ummah ”JUSTICE4ADIB”

Justeru, para rakyat yang ingin turut sama menyertai demo tersebut adalah digalakkan untuk mengadakannya secara aman tanpa sebarang provokasi. Para rakyat juga dinasihatkan untuk mendengar dengan teliti sebarang arahan yang dikeluarkan oleh pihak penganjur dan pihak berkuasa sepanjang demonstrasi ini dijalankan.

Walaupun perhimpunan ini dilakukan secara aman, para rakyat dan penganjur perlu diingatkan bahawa perhimpunan yang bakal diadakan ini berlangsung pada hari Jumaat yang merupakan hari baik dan penghulu segala hari. Seharusnya penganjuran demo bantahan ini dilakukan secara tenang dengan cara mengadakan bacaan Yassin dan doa serta tidak melakukan sebarang provokasi yang melampau sehingga boleh mencetuskan rusuhan yang besar. Ini kerana perhimpunan solidariti ini tidak mempunyai kelulusan dari PBT dan hanya diadakan secara “gerila”. Jadi, para peserta himpunan diminta supaya menjalankan demo ini secara aman, tenang dan tidak ingkar akan sebarang arahan yang dikeluarkan serta mengikut “flow” yang ditetapkan oleh pihak penganjur dan pihak berkuasa.

Oleh itu, sekiranya perhimpunan yang diadakan pada hari Jumaat ini lebih menumpukan kepada objektif utama iaitu tuntutan perletakan jawatan terhadap Menteri Perpaduan, pihak penganjur dinasihatkan supaya memfokuskan kepada hal tersebut sahaja dan tidak melibatkan lain-lain isu dalam negara. Ia sebagaimana yang telah di war-warkan oleh mereka bahawa penganjuran himpunan ini adalah dengan satu tujuan iaitu menuntut keadilan ke atas kematian Muhammad Adib. Jadi, perhimpunan aman yang diadakan ini haruslah tidak tersasar dari objektif utamanya dan pihak penganjur serta para peserta tidak boleh mengambil kesempatan dengan menyelitkan isu-isu sentisitif lain seperti provokasi yang melampau antara kaum hingga menyebabkan pergaduhan. Sekiranya hal ini terjadi, pihak berkuasa tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap peserta himpunan dan berkemungkinan akan membatalkan terus acara tersebut. Pihak penganjur juga dikehendaki mematuhi arahan pihak berkuasa dan mematuhi undang-undang seperti yang terkandung di dalam Akta Perhimpunan Aman 2012.

Jenazah Muhammad Adib tiba di kampung halamannya, Kampung Tebengau, Kuala Kedah

Selain itu, pihak berkuasa juga diharap dapat menjalankan tugas dengan adil dan saksama dalam menyiasat kematian Muhammad Adib agar pesalah yang sepatutnya di bawa ke muka pengadilan. Ini kerana mendatangkan kecederaan ke atas anggota badan beruniform sudah menjadi satu kesalahan, apalagi jika menyebabkan kematian. Kes ini sudah diklasifikasikan kes bunuh di bawah Akta 302 Kanun Keseksaan. Kematian Muhammad Adib wajib dibela agar tidak berlaku ke atas anggota badan beruniform yang lain.

Kematian Muhammad Adib meninggalkan seribu satu duka yang amat mendalam kepada seluruh rakyat Malaysia. Perjalanan seorang pemuda berusia 24 tahun yang ingin berbakti kepada masyarakat berakhir dengan kematian tragis. Oleh itu, peranan kerajaan dalam kes ini juga amat diharapkan supaya mengkaji semula permansuhan hukuman mati terhadap pesalah-pesalah jenayah berat dengan sewajarnya. Di mana keadilan bagi keluarga si mati sekiranya hukuman ini dimansuhkan? Hari ini hari Muhammad Adib, mungkin esok keluarga anda? Walau apapun, kematian Muhammad Adib dilihat menjadi satu fenomena bagi seluruh rakyat Malaysia bersatu menuntut keadilan.

Tenang dan damailah kamu di alam sana Adib, satu hari nanti kami pula bakal menyusul. Al- Fatihah..

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here