Setelah beberapa tahun gabungan pelajar universiti melontarkan suara mereka mendesak kerajaan memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971, baru-baru ini Dewan Negara telah meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Universiti dan Kolej Universiti (Pindaan) 2018 yang bertujuan memansuhkan peruntukan yang menghalang penuntut universiti terlibat dalam aktiviti parti politik dalam kampus.

Menurut daripada kenyataan Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching, kerajaan telah menubuhkan jawantankuasa kerja untuk memperkenalkan satu akta baru menjelang 2020 bagi menggantikan AUKU 1971. AUKU 1971 merupakan akta yang digubal oleh kerajaan Malaysia pada 27 April 1971. Akta yang berada di bawah kuasa Kementerian Pelajaran Malaysia ini mengadakan peruntukan bagi penubuhan, penyelenggaraan dan pentadbiran universiti dan kolej-kolej universiti awam serta perkara-perkara lain yang berkenaan dengannya.

Timbalan Menteri Pendididkan, YB Teo Nie Ching mengumumkan pindaan tersebut kepada media

Isu yang sering menjadi perhatian mengenai AUKU adalah akta ini dilihat menyekat kebebasan mahasiswa untuk melibatkan diri dalam aktiviti politik. Sekatan tersebut termaktub di dalam Seksyen 15(2)(c) AUKU yang menghalang mahasiswa dari menyertai apa-apa persatuan atau parti politik kecuali diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan atau diluluskan oleh Naib Canselor.

Pada 10 Disember lepas, Dewan Rakyat mencatat sejarah apabila sebulat suara meluluskan pindaan terhadap AUKU untuk membenarkan mahasiswa aktif dalam arena politik. Pindaan tersebut sekaligus memberi lebih banyak ruang dan kebebasan kepada mahasiswa untuk bersuara serta berpolitik. Keputusan Dewan Negara meluluskan RUU Universiti dan Kolej Universiti (Pindaan) 2018 ini juga memboleh mahasiswa berpolitik di kampus sekaligus mengulangi komitmen kerajaan untuk memansuhkan AUKU.

Keputusan Dewan Negara itu disambut baik oleh salah seorang Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Putra Malaysia (UPM), Arman Usman, yang menyatakan pindaan AUKU dapat memberi lebih kebebasan untuk berpolitik kepada mahasiswa. Walau bagaimanapun, beliau menyatakan tidak ada akta yang sempurna dan pasti ada kesan baik serta buruk apabila akta ini dipinda.

PIndaan AUKU akan memberi kebebasan kepada mahasiswa untuk berpolitik di kampus

Selain itu, kumpulan pelajar dinamakan Undi 18 yang memperjuangkan hak demokratik anak muda juga mengucapkan tahniah terhadap keputusan Dewan Negara tetapi menyifatkan reformasi mahasiswa belum berakhir kerana masih ada seksyen-sekyen lain yang perlu dikaji semula dan dipinda jika perlu.

Namun, persoalan yang akan timbul nanti adakah mahasiswa menjadi benar-benar bebas selepas ini dan hak untuk berpolitik di kampus mendapat kelulusan daripada pihak universiti? Bagaimanakah peranan pihak universiti untuk mengekang politik ekstrimis yang boleh mengganggu pelajar lain dan tidak menjejaskan prestasi akademik mahasiswa? Kerajaan juga perlu bekerjasama untuk menyelesaikan masalah ini tetapi apa yang ingin di utamakan buat masa ini adalah perjuang mahasiswa selama 40 tahun untuk menuntut kebebasan berpolitik akhirnya menjadi kenyataan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here