Pembentangan Belanjawan 2020 sama seperti belanjawan-belanjawan sebelum ini kerana ia sentiasa menjadi detik yang ditunggu rakyat. Oleh itu, pengumuman bajet 2020 mengenai diskaun tol sebanyak 18 peratus bermula pada tahun 2020 di semua lebuh raya Plus menjadi salah satu berita paling mendapat perhatian orang ramai.

Kerajaan kini kian sedar bahawa beban rakyat dalam menanggung kos sara hidup termasuklah dalam menanggung kos tol lebuh raya. Sehubungan itu, diskaun tol yang bakal dinikmati kelak mampu memberikan penjimatan sehingga RM1.13 bilion kepada pengguna jalan raya pada tahun hadapan.

Diskaun tol merupakan berita gembira untuk rakyat

Selain itu, caj kesesakan juga turut diperkenalkan di mana pada sekitar waktu puncak dan waktu biasa diturunkan sehingga 30 peratus berbanding dengan kadar tol semasa serta percuma semasa waktu bukan puncak. Sementara itu, dalam merealisasikan pelaksanaan diskaun ini, kerajaan akan membuat rundingan untuk mendapatkan harga yang terbaik untuk mengambil alih setiap konsesi tol.

Warga kota adalah antara golongan yang sering dihimpit dengan beban kos lebuh raya kerana terpaksa berulang alik setiap hari terutamanya atas urusan kerja. Oleh yang demikian, pelaksanaan diskaun ini bukan sahaja menjimatkan para pengguna lebuh raya malah ia juga dapat mengurangkan beban kewangan mereka.

Belanjawan 2020 bukti kerajaan bantu kurangkan beban kos sara hidup rakyat

Rata-rata maklum balas daripada netizen adalah positif dalam menyambut baik usaha kerajaan ini. Sebahagian daripada mereka juga berpendapat, walaupun ia tidak selari dengan manifesto kerajaan yang ingin menghapuskan tol namun ia tetap dapat membantu rakyat khususnya pengguna lebuh raya. Selain itu, pengambilalihan lebuh raya ini juga tidak akan membebankan kerajaan serta kadar tol di antara jambatan pertama dan kedua Pulau Pinang dapat diseragamkan.

Justeru itu, inisiatif kerajaan dalam membantu rakyat melalui diskaun tol wajar diberikan kredit kerana ia juga merupakan salah satu keperluan dan permintaan rakyat. Jika sebelum ini orang ramai hanya dapat menikmati diskaun tol pada musim perayaan, namun kini situasi berbeza mungkin berlaku sekiranya semuanya berjalan lancar seperti yang dirancangkan. Oleh itu, diharapkan kerajaan akan terus optimis dari masa ke semasa dalam memberikan bantuan kepada rakyat dari aspek yang lain.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here