Baru-baru ini terdapat satu kajian dikeluarkan oleh Centre for Governance and Political Studies (Cent-GPS), sebuah pusat kajian penyelidikan swasta yang menunjukkan berlaku penindasan terhadap graduan kaum India dan perempuan bertudung dalam proses pengambilan pekerja bagi sektor swasta. Kajian itu juga turut melibatkan dua kakitangan Cent-GPS yang ‘berlakon’ sebagai tujuh individu untuk ditemuduga di beberapa syarikat swasta.

Menurut penyelidik Cent-GPS, Zaidel Baharuddin sebanyak 3,289 resume telah dihantar bermula Disember 2018 sehingga Februari 2019 mewakili tujuh individu dan setiap individu menghantar sebanyak 547 resume dengan kelayakan sama kepada pelbagai syarikat. Hasil dari kajian tersebut menunjukkan pemohon kaum Cina paling banyak mendapat panggilan temuduga berbanding kaum lain di mana dua calon kaum Cina mendapat peratus tertinggi sebanyak 43.88% dan 32.72% kerana mendapat panggilan temuduga.

Kajian Cent-GPS telah menunjukkan terdapat diskriminasi kaum terhadap individu memohon kerja

Kajian tersebut telah menunjukan diskriminasi kaum masih lagi berlaku dalam kalangan syarikat swasta dan jenis bangsa dijadikan ukuran untuk mendapatkan pekerjaan dalam negara ini. Malah perkara ini juga boleh dilihat dalam mana-mana portal mencari kerja di mana salah satu kriteria yang diperlukan adalah kemahiran dalam sesetengah bahasa sahaja. Kebanyakan majikan beranggapan syarikat mereka banyak berurusan dengan pihak dari kaum sama dan majoriti pekerja di syarikat itu juga dari kaum yang sama.

Jadi pengambilan pekerja dari kaum yang sama memudahkan proses blending in dengan pekerja lain supaya mereka dapat bekerja secara kolektif dalam satu syarikat. Mungkin juga pengambilan pekerja berdasarkan kaum disebabkan oleh dasar membantu kaum sendiri bagi mendapatkan pekerjaan kerana kesukaran untuk memasuki sektor kerajaan atau Agensi Berkaitan Kerajaan (GLC) oleh kerana syarat ketat dan proses pengambilan yang rumit.

Sehubungan itu, diskriminasi kaum dalam pengambilan pekerja boleh memberi kesan kepada masyarakat di negara ini. Ia telah menunjukkan masih kurang lagi penyatupaduan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dalam negara ini disebabkan oleh sentimen mahu menjaga ‘periuk nasi’ kaum masing-masing sahaja. Perkara ini juga boleh menyebabkan suasana di tempat kerja terjejas kerana boleh mewujudkan kumpulan majority dan minority dalam pejabat.

Sentimen mahu menjaga ‘periuk nasi’ kaum masing-masing boleh jejaskan sektor pekerjaan di negara ini

Di samping itu, jika masalah ini tidak diatasi dengan segera tidak mustahil sektor pekerjaan akan didominasi oleh sesetengah kaum sahaja dan tidak memberi ruang kepada kaum lain untuk sama-sama bekerja meningkatkan ekonomi negara. Lebih baik jika syarikat swasta mengambil pekerja yang berbilang kaum kerana masing-masing boleh menyuarakan pandangan malah idea yang mampu meningkatkan produktiviti syarikat tersebut.

Justeru, perkara ini perlu dipandang berat oleh semua pihak kerana perkara ini sudah lama berlanjutan dan sebelum kajian daripada Cent-GPS ini dikeluarkan, satu lagi kajian oleh dua pensyarah kanan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) juga mengeluarkan statistik yang hampir sama. Jadi langkah kerajaan untuk menggalakkan orang ramai menceburi bidang swasta semakin sukar jika dikriminasi untuk mendapatkan pekerjaan masih terjadi pada masa akan datang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here