Sebenarnya ada sesetengah sikap pengguna jalan raya yang bukan sahaja menjengkelkan, bahkan menyusahkan juga. Tempat memarkir kereta tetapi digunakan untuk memarkir motosikal. Bukankah itu menyusahkan kepada pemandu-pemandu kereta untuk mencari tempat parkir baru terutamanya di kawasan yang padat.

Antara sikap pengguna jalan raya yang menyusahkan pengguna lain

Itu baru satu contoh sikap rakyat Malaysia yang menyusahkan kebanyakan pengguna jalan raya. Belum lagi jika diceritakan sikap pengguna jalan raya yang suka ‘double park’. Kebanyakan daripada mereka mungkin hanya fikir jalan untuk memudahkan diri sendiri, tanpa menyedari bahawa ianya menyukarkan pihak lain.

Mahu tidaknya, pengguna-pengguna jalan raya yang lain terpaksa berhadapan dengan kesesakan lalu lintas akibat sikap segelintir pengguna yang suka ‘double park’. Jika kita biasa ke kawasan Pasar Ayer Panas, Setapak terutamanya pada awal pagi, pasti segelintir daripada kita pernah berhadapan dengan situasi kesesakan lalu lintas akibat terpaksa menggunakan satu ‘lane’ jalan sahaja. Puncanya sikap ‘double park’ pengguna jalan raya dan terdapat beberapa peniaga yang menjalankan aktiviti mereka di atas laluan kereta.

Pernah tular di media sosial sebuah trak 4WD merempuh sebuah Myvi yang ‘double park’. Jika diamati semula video yang berlaku empat tahun lepas, sikap pemilik trak 4WD dan Myvi  itu boleh mengundang bahaya kepada pengguna lain, kerana kedudukan kenderaan itu di atas jalan raya utama.

Rakaman video yang tular 4 tahun lepas

Kekurangan tempat untuk memarkir kenderaan mungkin antara salah satu punca ‘double park’. Namun sikap tipikal pemandu Malaysia yang ‘malas’ untuk berjalan jauh dan mencari kawasan parkir yang bersesuaian adalah antara punca utama kepada masalah seperti ini.

Sebenarnya tindakan undang-undang yang tegas perlu diberikan kepada pemandu yang suka ‘double park’ ini. Mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 di bawah Seksyen 48(1) kenderaan ‘double park’ boleh ditunda dan pemandunya akan didenda sebanyak RM300.

Jika mana-mana pemandu memberhentikan kenderaan mereka di seberang jalan raya dengan cara berbahaya atau menyusahkan pengguna lain, mereka boleh didenda dari RM1,000 hingga RM5,000 atau hukuman penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.

Namun, jika pemandu-pemandu yang suka ‘double park’ ini menghalang kenderaan anda, bukan bermakna anda boleh melanggar kenderaan mereka sesuka hati. Kerana perbuatan itu boleh didakwa di bawah LN166/59 Peraturan 10 Kaedah-kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 di mana pesalah akan dikenakan denda sebanyak RM300.

Melalui isu ini sikap pemandu yang tidak bertanggungjawab dengan hanya menyusahkan pengguna lain, perlu diubah. Sikap tipikal rakyat Malaysia tidak melambangkan negara ini menuju ke arah negara maju.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here