Perdagangan Elektronik juga dikenali sebagai e-dagang (Electronic Commerce) ialah sebuah sistem perniagaan yang menggunakan kemudahan teknologi maklumat, terutamanya telekomunikasi canggih dan talian internet untuk berurusan dengan pelanggan.

Alibaba mencatatkan Malaysia di tangga keenam paling ramai membeli

Sehubungan dengan itu, mengikut laporan sempena Festival Beli Belah Global 11.11 pada 2019 syarikat peneraju e-dagang dari China, Alibaba telah merekodkan Malaysia berada di tangga keenam negara paling banyak membeli produk dari China pada hari tarikh ‘double eleven’ itu. Kita semestinya sukar mempercayai lagi ialah kuasa membeli oleh rakyat Malaysia setanding dengan negara-negara besar. Ini membuktikan masa depan e-dagang di Malaysia menjanjikan ‘lubuk emas’ kepada mereka yang berminat untuk menceburinya.

Terdapat beberapa kebaikan e-dagang antaranya ia dapat menjimatkan kos. Hal ini kerana kos sewa kedai dan ubah suai bangunan dapat dikurangkan melalui e-dagang berbanding dengan kos perniagaan konvensional. Malah peniaga juga tidak perlu mengeluarkan sumber kewangan yang tinggi untuk membeli atau menyewa peralatan dan kelengkapan lain selain dapat menguruskan perniagaan tanpa perlu mengupah banyak pekerja. Penjimatan tersebut boleh digunakan untuk membeli stok, kos reka cipta laman web dan sebagainya.

Malah e-dagang juga memberikan peluang kepada peniaga beroperasi selama 24 jam setiap hari. Ini kerana mereka hanya perlu menyediakan sistem tempahan automatik untuk kemudahan pelanggan seterusnya menguruskan urusan penghantaran tempahan sebaik sahaja pejabat pos dibuka. Secara tidak langsung, peniaga yang memilih kaedah perniagaan ini dapat menikmati kebebasan atau fleksibiliti waktu kerja tanpa menjejaskan sumber pendapatan masing-masing.

Membeli secara online menjimatkan masa

Manakala bagi pihak pelanggan pula, ia dapat menjimatkan masa. Masyarakat kini terlalu sibuk dengan pekerjaan dan keluarga sehingga tiada masa untuk membeli belah walaupun pada hujung minggu. Pelanggan tidak perlu meninggalkan rumah atau pejabat sebaliknya membuat tempahan dan menunggu barang tersebut sampai di depan pintu rumah.

Selain itu, ia juga memberikan pelanggan pilihan produk yang lebih luas, harga yang kompetitif dan yang paling penting, memudahkan mereka mengakses maklumat. Dengan kemudahan seperti e-dagang ini, pelanggan mempunyai lebih banyak pilihan dan boleh melakukan transaksi jual beli yang berlebihan tanpa had.

Oleh itu, e-dagang mempermudahkan urus niaga bukan sahaja untuk peniaga malahan kepada pelanggan sendiri. Malah jika dimanfaatkan dengan baik, e-dagang mampu membawa produk dan imej negara ke persada antarabangsa serta mampu bersaing dalam ekonomi tanpa sempadan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here