Baru-baru ini, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) melalui Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 10 Tahun 2019 memansuhkan sembilan elaun termasuk Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal (BIPK) berkuatkuasa 1 Januari 2020. Namun begitu, penerima sedia ada akan terus menikmati pembayaran BIPK secara khas untuk penyandang (KUP) mengikut kadar sedia ada seperti yang dinyatakan dalam Surat Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 117 Tahun 2007 sehingga meninggalkan perkhidmatan. Malah pegawai yang berkhidmat secara kontrak dan pelantikan semula melalui kontrak baharu secara terus menerus serta tidak terputus tempoh perkhidmatannya juga masih layak menerima BIPK dalam perkhidmatan kontraknya.

Pemansuhan BIPK tidak menjejaskan penerima BIPK

Menurut kajian yang dijalankan oleh JPA pada 2019 mendapati kesemua 33 skim perkhidmatan yang diperuntukkan dengan BIPK tidak lagi menepati kriteria pemberian asal BIPK iaitu skim-skim perkhidmatan berkenaan tidak kritikal, tidak memenuhi kriteria ciri-ciri penawaran yang rendah serta pengisian jawatan yang sukar dilakukan.

Sehubungan itu, kerajaan sewajarnya mengekalkan elaun ini memandangkan perjawatan dalam bidang kritikal khususnya sektor kesihatan dilihat sebagai penuh namun yang lebih nyata adalah beban tugas yang semakin tinggi dan tidak sepadan dengan bilangan petugas yang ada. Sebagai contoh, majoriti mereka yang memilih kerjaya sebagai doktor, jururawat, ahli farmasi atau pembantu perubatan disebabkan mereka mempunyai perasaan tanggungjawab sosial untuk membantu masyarakat. Secara tidak langsung, pemberian BIPK dapat menjaga kepentingan kebajikan selain meningkatkan motivasi mereka untuk memberikan perkhidmatan kesihatan yang berkualiti kepada rakyat Malaysia.

Elaun kritikal sektor kesihatan perlu dikekalkan

Malah pemansuhan BIPK akan memberi kesan terhadap tahap perkhidmatan di hospital kerajaan. Ini kerana ramai doktor berpengalaman akan beralih ke hospital swasta dan secara tidak langsung kita kekurangan doktor di hospital kerajaan. Ini akan memberi kesan kepada masyarakat untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan yang terbaik dari hospital kerajaan.

Justeru, pemansuhan BIPK ini merupakan satu diskriminasi terhadap lantikan baharu khususnya dalam bidang kritikal seperti bidang perubatan, pergigian, kejuruteraan, undang-undang dan lain-lain. Ini kerana skop pekerjaan yang dilaksanakan mereka adalah sama dengan kakitangan dan lantikan sebelum ini namun tidak menerima elaun seperti rakan sekerja mereka sebelum ini. Malah ini adalah satu penganiayaan kepada mereka yang sememangnya sudah bekerja lebih masa dengan gaji yang kurang dari kadar sepatutnya.

Oleh itu, kerajaan sewajarnya mengkaji semula secara menyeluruh mengenai BIPK memandangkan ia bukan satu beban kerana ia adalah penghargaan kepada mereka yang menjalankan amanah kerajaan kepada rakyat. Malah pemberian BIPK ini juga sebagai galakan kepada penjawat awam dalam meningkatkan kebolehpercayaan rakyat terhadap perkhidmatan kerajaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here