Keakraban hubungan di antara negara Malaysia dan Indonesia sememangnya tidak dapat disangkal lagi. Hubungan yang sudah sekian lama terbina sejak ribuan tahun dahulu kini bakal ‘disimpul rapi’ apabila Presidennya, Joko Widodo atau Jokowi mengadakan lawatan rasmi beliau ke negara ini bermula 8 dan 9 Ogos 2019. Ini merupakan lawatan rasmi pertama beliau setelah memenangi Pemilihan Umum Presiden Indonesia 2019 (Pilpres) pada 21 Mei yang lalu.

Seperti yang diketahui, Malaysia dan Indonesia sudah sekian lama menjalinkan banyak kerjasama baik dari soal keselamatan, ekonomi, sosial dan banyak lagi. Hubungan akrab ini memperlihatkan kedua-dua negara tersebut sebagai kuasa besar di rantau Asia Tenggara dan ini menjadikan mereka dihormati baik dari negara Asia mahupun negara Barat. Kunjungan Jokowi ke Indonesia pada kali ini memberi harapan kepada kerajaan Malaysia untuk melaksanakan pelbagai kerjasama bagi memperkukuhkan ekonomi dua hala bagi negara tersebut.

Kunjungan Jokowi ke Malaysia dilihat membuka lembaran baru hubungan kerjasama Malaysia-Indonesia

Antara kerjasama tersebut adalah menghidupkan kembali projek kereta Malaysia-Indonesia untuk pasaran ASEAN. Ini seperti yang digambarkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika lawatan rasminya ke Jakarta pada 29 Jun lalu. Bukan itu sahaja, kunjungan rasmi tersebut juga diharapkan dapat menentukan hala tuju baharu bagi hubungan dua hala di antara republik itu dengan Malaysia selain mengubah persepsi kedua-dua buah negara daripada persaingan kepada kemakmuran bersama.

Di samping itu, antara kerjasama lain yang dilihat sesuai bagi mengukuhkan hubungan diplomatik kedua-dua buah negara serta menguntungkan kedua-dua belah pihak adalah melalui pelaksanaan projek ekonomi bersama. Sebagai contoh, industri getah dan kelapa sawit. Semua pihak mengetahui bahawa Malaysia dan Indonesia merupakan pengeluar terbesar kepada industri-industri tersebut dan kini sedang berhadapan dengan ancaman negara Eropah yang mahu memboikot penggunaan minyak sawit.

Oleh itu, wajarlah sekiranya Malaysia dan Indonesia menjalankan kerjasama untuk membangunkan kedua-dua industri terbabit bagi melawan tanggapan negatif Barat, ini kerana sawit dan getah antara komoditi terbesar bagi negara-negara tersebut. Walaupun pelaburannya nanti akan melibatkan sejumlah amaun yang besar, namun dengan gandingan kedua-dua buah negara ini pasti akan menjadikan ia suatu misi yang tidak mustahil bagi memacu ekonomi dua hala negara-negara tersebut.

Malaysia dan Indonesia disarankan untuk bekerjasama dalam pembangunan Industri getah dan kelapa sawit

Selain itu, kedua-dua kerajaan ini boleh memanfaatkan kerjasama melalui projek kereta Malaysia-Indonesia seperti yang dibayangkan oleh Tun Mahathir selain merencanakan usahasama di antara PETRONAS dan Pertamina dalam aktiviti hiliran bagi memanfaatkan kekuatan masing-masing. Hal ini kerana dengan kerjasama ini, ia akan meluaskan jaringan ekonomi bagi kedua-dua buah negara.

Dalam perkara ini, kerjasama antara Malaysia dan Indonesia dilihat sangat penting dalam membentuk permuafakatan dan juga pembinaan ekonomi secara utuh. Hal ini kerana kedua-dua buah negara bukanlah negara kuasa besar yang setanding dengan negara-negara dunia lain. Maka, kerjasama ini sangat perlu dalam membuka mata negara ASEAN dan dunia bahawa dengan kerjasama ini, tidak mustahil Malaysia dan Indonesia berjaya memegang ekonomi dunia suatu hari nanti.

Apa yang boleh dikatakan, lawatan Presiden Indonesia ke Malaysia pada 8 Ogos ini sememangnya membuka era baharu kepada negara-negara ASEAN untuk mengeratkan lagi jaringan hubungan diplomatik sesama sendiri agar berdiri maju seiring dengan negara-negara dunia lain. Kini, sudah tiba masanya negara-negara seperti Malaysia, Indonesia, Singapura dan lain-lain membuktikan bahawa mereka juga mampu memegang status negara maju dan berupaya menguasai teknologi industri seperti negara-negara maju lain.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here