Negara kita masih lagi berada dalam Fasa 1 PKP di bawah Pelan Pemulihan Negara selagi tiga indikator nilai ambang utama tidak lagi dicapai. Tiga indikator utama tersebut adalah kes harian berada di bawah 4,000 kes, 10% rakyat Malaysia telah lengkap mendapat 2 dos vaksin dan kapasiti pesakit di ICU berada di paras sederhana.

Jika kita melihat kepada perkembangan kes baru Covid-19, jumlah kes masih berada di atas 4,000 kes dan graf jumlah kes positif baru harian masih menunjukkan trend mendatar. Jika kita berjaya kekalkan jumlah kes 4,000 kes sehari dalam tempoh seminggu, ini bermakna satu indikator utama telah berjaya dicapai sebelum masuk ke Fasa 2 PKP.

Malah, jumlah kulmulatif pemberian dos vaksin dalam negara kita masih lagi berada di bawah 10%. Setakat ini, jumlah pemberian dos 1 dan dos 2 adalah 8,083,685 di seluruh negara. Jumlah penerima vaksin yang lengkap 2 dos baru sahaja mencecah 2,309,018 iaitu 7.1%.

Jadi untuk melengkapkan indikator kedua iaitu 10% vaksinasi lengkap, jumlah penerima dos ke 2 perlu meningkat sebanyak 2.9% lagi. Perkara positif yang kita perolehi adalah jumlah penerima vaksian harian berjaya mencatatkan jumlah tertinggi dalam masa 2 hari ini dan tempoh pemberian dos kedua vaksin AstraZeneca juga telah dipendekkan.

Indikator utama yang ketiga adalah jumlah pesakit Covid-19 di ICU berada di paras sederhana. Setakat ini jumlah kes pesakit di ICU adalah 917 dan 445 kes memerlukan bantuan alat pernafasan. Jumlah ini amat membimbangkan kerana mendorong kepada peningkatan jumlah kematian tinggi setiap hari dan penggunaan katil ICU juga sudah mencecah 104% pada awal Jun lalu.

Oleh itu sangat lah penting untuk seluruh rakyat Malaysia mematuhi SOP yang telah ditetapkan untuk membolehkan ketiga-tiga indikator utama ini dicapai. Jika tiga indikator utama ini dicapai dalam tempoh singkat, peralihan fasa seterusnya akan dilaksanakan secepat mungkin dan kelonggaran PKP juga boleh dilaksanakan dengan segera.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here