Iklim Malaysia mempunyai suhu yang hampir seragam, kelembapan yang tinggi dan hujan yang banyak. Walau bagaimanapun, fenomena cuaca panas yang melanda Malaysia di bahagian barat Semenanjung dan Sabah dijangka akan berterusan sehingga Mac ini. Berdasarkan laporan Pusat Operasi Cuaca dan Geofizik Nasional Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), cuaca panas yang berlaku ketika ini adalah fenomena biasa yang melanda negara berikutan penghujung monsun timur laut.

Fenomena ini biasa berlaku ketika fasa akhir monsun timur laut di mana kenaikan suhu akan berlaku berikutan kekurangan hujan yang mana suhu yang dicatatkan sekarang adalah 34 hingga 36 darjah celcius berbanding suhu biasa 32 hingga 34 darjah celcius. Walau bagaimanapun, fenomena cuaca panas ini tidak berlaku di negeri-negeri pantai timur dan Sarawak.

Oleh itu, masyarakat perlu peka bahawa fenomena panas ini boleh menyebabkan beberapa kesan kepada individu khususnya dalam aspek kesihatan. Fenomena panas ini boleh menyebabkan serangan strok haba dan adalah wajar sekiranya aktiviti luar rumah dapat dikurangkan. Hal ini kerana ia adalah antara penyakit yang berisiko tinggi pada musim panas di samping masalah batuk, penyakit kulit dan sebagainya.

Kurangkan aktiviti luar semasa cuaca panas bagi mengelakkan strok haba

Sektor pertanian adalah antara sektor yang paling berpotensi dalam menjana pendapatan negara. Fenomena cuaca panas ini juga memberi kesan kepada sektor pertanian negara kerana suhu panas yang melampau boleh merosakkan hasil padi dan kualiti bijirin, sekaligus akan menyebabkan pengurangan dalam pengeluaran serta memberi kesan kepada keselamatan makanan negara.

Bagi mengelakkan serangan strok haba dan masalah-masalah kesihatan yang lain disebabkan fenomena panas ini, orang ramai tidak digalakkan menjalankan aktiviti luar lebih lama manakala aktiviti-aktiviti luar bagi murid-murid sekolah juga perlu dikurangkan berbanding hari-hari biasa kerana ia akan memudaratkan kesihatan.

Suka atau tidak kehidupan kita dipengaruhi oleh keadaan cuaca harian dan apa yang lebih penting adalah masyarakat kita peka serta memahami kesan fenomena panas ini di mana ia boleh menjejaskan kesihatan kita. Oleh itu, masyararakat kita perlu lebih bersedia dalam menghadapi fenomena cuaca panas ini supaya tidak mengalami masalah kesihatan yang teruk sehingga membawa maut.

Semua orang tahu bahawa air sangat penting untuk kehidupan. Oleh itu, cara mencegah atau mengurangkan kesan terhadap kesihatan akibat cuaca panas melampau adalah dengan meminum air kosong dengan banyak tanpa mengira tahap aktiviti fizikal yang dilakukan. Pengambilan minuman isotonik juga digalakkan kerana ia boleh menggantikan garam dan mineral yang hilang semasa berpeluh.

Selain itu, kita hendaklah kerap berehat, mandi atau gunakan kipas angin untuk menyejukkan tubuh kita. Dari segi pemakaian pula, kita perlulah memakai pakaian yang ringan, berwarna terang dan longgar. Kesemua langkah ini mungkin nampak seperti langkah kecil namun ia sebenarnya banyak membantu bagi mengelakkan masalah kesihatan semasa cuaca panas.

Masyarakat perlu peka dengan perubahan cuaca yang berlaku di malaysia bagi mengelakkan masalah kesihatan

Masyarakat seharusnya peka dengan perubahan cuaca dan sentiasa mendapatkan maklumat dari laman sesawang MetMalaysia. Sekiranya masyarakat kita peka akan hal ini khususnya golongan belia, mereka berperanan menyampaikan maklumat berkenaan kepada warga emas yang tidak mempunyai akses internet atau telefon pintar untuk mendapatkan maklumat barkaitan cuaca.

Justeru itu, masayarakat kita masih perlu dididik mengenai kepentingan menjaga kesihatan khususnya sepanjang fenomena cuaca panas ini berlaku. Ini kerana, tanpa disedari sebenarnya fenomena ini juga akan memberi kesan kepada masayrakat dan negara. Sekiranya masalah kesihatan berlaku secara mendadak sudah tentu produktiviti tenaga kerja akan terganggu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here