Akaun facebook (FB) adalah antara media sosial ‘wajib ada’ pada semua individu masa kini. Di awal kewujudan FB adalah sekadar untuk dijadikan medium komunikasi jarak jauh dan berkongsi kehidupan di media sosial. Namun, kepentingan FB tidak lagi hanya sekadar itu kerana pada masa kini, FB juga dijadikan sebagai salah satu tempat untuk berniaga dan meraih pendapatan. Ini menunjukkan bahawa FB sememangnya mempunyai kepentingannya yang tersendiri mengikut peredaran zaman.

Walau bagaimanapun, pemikiran ‘terlajak kreatif’ oleh segelintir individu dalam mewujudkan akaun FB palsu telah mendatangkan kesan buruk kepada orang lain. Pada kebiasaannya, pemilik FB palsu akan berselindung disebalik identiti sebenar bagi mengelakkan dikesan oleh pihak berkuasa sekiranya mereka melanggar undang-undang negara.

Fenomena kewujudan akaun fb palsu perlu ditangani

Melihat kepada trend masa kini, wujudnya FB palsu ini adalah bertujuan untuk meninggalkan komen-komen negatif dan memuatnaik status yang boleh mencetuskan kontroversi. Walau bagaimapun, terdapat sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan dengan melakukan penipuan duit melalui perniagaan, paid review, dan lain-lain. Memiliki akaun FB dilihat semakin mencabar dengan adanya FB palsu.

Sementara itu, antara golongan yang sering menjadi mangsa kecaman oleh pemilik akaun FB palsu adalah artis dan ahli politik sehingga ia menjejaskan nama baik mereka dan boleh dikatakan mampu memberi kesan lebih besar seperti menutup periuk nasi mereka dan menamatkan karier seseorang mangsa. Berselindung di sebalik akaun palsu untuk menjatuhkan mangsa ibarat satu trend masa kini di mana ia semakin serius dan perlu ditangani dengan segera.

Sudah jelas dan nyata bahawa pemilik akaun FB palsu sudah pasti mempunyai agenda yang tersendiri seperti menyebarkan berita palsu sehingga mampu menjejaskan keharmonian negara. Oleh itu, fenomena ini seharusnya perlu ditangani sebaik mungkin supaya ia tidak menjadi budaya di kalangan masyarakat kita dalam menikmati keseronokan kecanggihan teknologi.

Pemilik akaun palsu cenderung menyebarkan fitnah dan berita palsu

Sehubungan itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) perlu tampil dengan satu mekanisme baru yang lebih proaktif dalam mengesan pemilik akaun palsu terutamanya yang melibatkan kes-kes serius seperti menghina Yang di-Pertuan Agong, isu agama dan kedaulatan negara. Tindakan tegas tehadap mana-mana individu yang bersalah juga adalah sangat penting dalam mendidik masyarakat kita supaya lebih bertanggungjawab dalam menggunakan media sosial.

Penggunaan internet masa kini adalah terlalu luas dan majoriti rakyat melayari internet. Oleh itu, adalah wajar kerajaan menggunakan pendekatan mendidik dan menimbulkan kesedaran kepada masyarakat supaya menggunakan media sosial secara positif. Sebagai contoh, pendidikan awal di sekolah dalam menggunakan media sosial juga adalah salah satu langkah yang wajar dipertimbangkan kerana 10 tahun akan datang cabarannya sudah pasti semakin meningkat. Adalah penting untuk kita melahirkan generasi yang lebih peka dan mempunyai kesedaran betapa pentingnya menggunakan media sosial secara berhemah.

Justeru itu, dalam menghadapi cabaran kecanggihan teknologi seperti sekarang, kerajaan perlu bertindak dengan lebih pantas serta tampil dengan perancangan proaktif dalam membentuk sebuah masyarakat yang lebih matang dalam penggunaan internet. Permasalahan ini juga perlu ditangani kerana ia adalah demi kebaikan negara dalam satu jangka masa yang panjang dalam menghadapi cabaran pada masa akan datang. Oleh itu, pengguna media sosial sendiri juga perlu memainkan peranan penting seperti memantau anak-anak semasa menggunakan media sosial sebagai langkah membantu kerajaan menangani isu kewujudan akaun FB palsu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here