Rakyat Malaysia belum lagi bebas daripada fenomena El Nino, kini mereka terpaksa berhadapan dengan isu jerebu pula. Malaysia mungkin dilanda masalah jerebu yang serius berikutan kes kebakaran ketika musim panas sejak Februari lalu. Punca fenomena jerebu berlaku adalah disebabkan pencemaran atmosfera terutama hasil aktiviti antropogenik. Kawasan gambut dan pengurusan air dikenali sebagai salah satu sumber utama zarah miniscule yang membentuk jerebu lintas sempadan. Gambut mengandungi kandungan organik yang sangat tinggi iaitu antara 90 peratus dalam banyak kawasan dan jika tidak diuruskan dengan betul akan menghasilkan api dengan mudah. Selain itu, terdapat sejumlah besar sisa biomas atau sisa terhasil daripada pembersihan, penanaman, penuaian tanah dan menanam semula proses sepanjang hayat perladangan. Sisa-sisa ini sering dibakar kerana proses tersebut lebih cepat, mudah dan murah.

Beberapa kawasan di Malaysia terus mencatat bacaan IPU tahap tidak sihat

Kualiti udara di seluruh negara awal pagi ini secara keseluruhannya berada pada tahap baik dan sederhana. Bacaan terkini Indeks Pencemaran Udara (IPU) setakat jam 8 pagi tadi menunjukkan hanya satu kawasan iaitu Pasir Gudang merekodkan kualiti udara pada tahap yang tidak sihat dengan bacaan IPU 105. Manakala 35 kawasan lain termasuk Kota Tinggi, Larkin Lama, Alor Setar, Bandaraya Melaka, Nilai, Seremban, Seri Manjung, Seberang Jaya 2, Shah Alam, Pelabuhan Klang, Kota Kinabalu, Tawau, Kuching dan Sibu merekodkan bacaan sederhana. Selain itu, kawasan Batu Muda, Cheras dan Putrajaya turut mencatatkan bacaan IPU tahap sederhana. Kawasan lain di Langkawi, Kangar, Perai, Kuantan, Bintulu, Kemaman dan Labuan pula merekodkan kualiti udara lebih baik dengan bacaan IPU di bawah 50.

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Mohammad Hamdan Wahid, sehingga 28 Februari lalu 6,566 kes kebakaran terbuka direkodkan di seluruh negara berbanding 16,566 kes sepanjang tahun lalu. Antara negeri tertinggi mencatatkan kes kebakaran terbuka seperti kebakaran ladang, hutan belukar dan sampah berskala besar ialah Johor; 1,457 kes, Kedah; 846 kes dan Sabah; 755 kes.

Jika dilihat dari sudut biasa, penutupan sementara sekolah tidak memberi impak besar, namun ia masih mampu memberi kesan psikologi kepada pihak guru seperti tergendalanya perancangan atau jadual yang sudah diatur sekolah sepanjang tahun. Walaupun penutupan itu sekejap dan dilakukan untuk menjaga kesihatan, ia boleh merencatkan susun atur perancangan membabitkan P&P. Guru terpaksa menggantikan sesi tertangguh untuk mengejar silibus.

Selain itu, kesan penangguhan itu boleh mewujudkan sedikit tekanan dari sudut psikologi pelajar terutama mereka yang bakal menghadapi peperiksaan utama. Mereka akan tertekan menunggu saat untuk menjalani peperiksaan seperti Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) atau Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Ia sekaligus merencatkan perancangan mereka mengulang kaji di sekolah bersama guru atau rakan hingga memberi tekanan psikologi kepada pelajar berkenaan.

Ibu bapa perlu prihatin dan mendidik anak mereka mengenai bahaya jerebu

Antara langkah bagi mengelakkan keadaan jerebu semakin teruk antaranya termasuk tidak membakar sisa sebaliknya menggunakannya untuk membangunkan fasiliti penukaran biomas kepada tenaga dan menyediakan persekitaran yang kondusif untuk menarik pelaburan. Perkara ini boleh menjadi realiti apabila wujudnya pelaburan daripada kerajaan atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dengan kerjasama komuniti tempatan dan syarikat swasta. Selain itu, kerjasama antara pihak kerajaan dan pihak berkuasa amat penting bagi menggerakkan semula pusat operasi untuk menyelaraskan aktiviti pencegahan jerebu dan kebakaran hutan, mengerahkan anggota, polis dan pegawai pihak berkuasa tempatan untuk membantu usaha pencegahan kebakaran yang dilaksanakan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat, dan membentuk peraturan bagi membolehkan tindakan undang-undang dikenakan ke atas pihak yang melakukan pembakaran terbuka di ladang-ladang mereka.

Bagi masyarakat di luar sana, paling utama kurangkan aktiviti luar. Sekiranya seseorang itu aktif dan melakukan rutin bersukan di luar setiap hari, cuba lakukan senaman di tempat tertutup ataupun di rumah. Mereka juga digalakkan menggunakan topeng pernafasan apabila keluar rumah, banyakkan minum air sekurang-kurangnya dua liter dan selalu membasuh tangan serta muka selepas melakukan aktiviti luar. Oleh itu, kerjasama semua pihak sangat penting bagi menyelesaikan masalah jerebu ini. Sekiranya Malaysia bebas daripada belenggu masalah jerebu, sudah pasti negara Malaysia dapat berkembang maju dalam semua bidang terutamanya bidang pelancongan yang sememangnya berpandukan cuaca dan iklim Malaysia. Marilah kita berusaha mengurangkan masalah jerebu dan mewujudkan negara yang bebas jerebu untuk kepentingan bersama.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here