Baru-baru ini, Malaysia sekali lagi berhadapan dengan risiko jerebu berikutan kebakaran hutan di enam wilayah di Indonesia. Kebakaran hutan ini memberi kesan kepada cuaca di Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Putrajaya manakala kawasan terbabit di Sarawak meliputi Kuching, Serian dan Samarahan.

Berdasarkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang direkodkan pukul 9 pagi pada 2 Ogos 2019 menunjukkan tiga kawasan mencatatkan status kualiti udara pada tahap yang baik, 64 kawasan mencatatkan status kualiti udara pada tahap sederhana dan satu kawasan mencatatkan bacaan IPU pada tahap tidak sihat iaitu Johan Setia, Klang dengan bacaan IPU 104. Manakala bacaan IPU tinggi di lain-lain kawasan yang dicatatkan di Nilai, Negeri Sembilan (89), Cheras, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang masing-masing mencatatkan bacaan IPU 185.

Kebakaran hutan di Indonesia menyebabkan Malaysia mengalami jerebu

Pembakaran hutan merupakan kaedah tradisi bagi membuka tanah pertanian khususnya di Sumatera dan Kalimantan, Indonesia. Kaedah pembakaran hutan ini biasanya melibatkan proses tebang dan bakar yang menyumbang penghasilan bahan pencemar udara yang tinggi. Keadaan menjadi bertambah teruk apabila proses pembukaan hutan ini dijalankan di kawasan tanah gambut yang menyebabkan proses pembakaran mengambil masa yang lama untuk dipadamkan.

Selain itu, tanah gambut merupakan kawasan yang cenderung untuk mengalami pembakaran semasa musim kering disebabkan oleh ruang kosong yang ditinggalkan oleh air tanah yang bergerak ke bahagian bawah. Proses pembakaran yang berlaku mengambil masa yang agak lama untuk dipadamkan disebabkan proses pergerakan pembakaran bawah tanah dalam bentuk pembaraan.

Namun begitu, tidak dapat dinafikan jerebu mendatangkan kesan buruk terutamanya terhadap kesihatan masyarakat di negara kita. Masyarakat lebih mudah terdedah dengan penyakit asma, sakit kerongkong, selsema, batuk dan lain-lain. Hal ini berlaku kerana jerebu menyebabkan badan menjadi lemah dan imunisasi semakin rendah.

Realitinya, aktiviti harian masyarakat turut terjejas akibat masalah jerebu. Sebagai contoh, di kawasan-kawasan yang dilanda jerebu, banyak sekolah terpaksa ditutup demi menjamin kesihatan pelajar. Keadaan ini menunjukkan bahawa masalah jerebu telah mengganggu aktiviti harian masyarakat di negara kita.

Sekolah terpaksa ditutup akibat jerebu

Justeru, sepanjang tempoh jerebu, masyarakat perlulah memakai penutup hidung atau mask semasa keluar daripada rumah. Kita juga seharusnya membasuh tangan dan muka sebaik sahaja balik dari luar dan minum air yang banyak. Hal ini adalah untuk mengurangkan kesan jerebu kepada badan kita sekaligus membersihkan habuk dan kotoran yang terlekat pada badan.

Pemandu-pemandu juga perlulah berhati-hati semasa memandu di jalanraya kerana asap jerebu mampu mengaburkan penglihatan kita, Sebagai contoh, pemandu perlulah memandu kenderaan mereka pada kelajuan 60 kilometer per jam iaitu halaju normal di jalanraya. Ini bagi mengelakkan mereka terlibat dengan sebarang kemalangan di jalanraya.

Oleh itu, marilah kita bersama-sama berusaha mengurangkan masalah jerebu dan mewujudkan negara yang bebas jerebu untuk kepentingan bersama.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here