Terperangkap dalam kesesakan lalu lintas sehingga berjam-jam lamanya bukanlah satu fenomena yang luar biasa bagi pengguna jalan raya di bandar-bandar utama. Bahkan ia merupakan santapan harian kepada pengguna jalan raya terutamanya di Lembah Klang, Kuala Lumpur mahupun di Georgetown, Pulau Pinang.

Hakikatnya, jalan raya di bandar-bandar utama sudah tidak mampu menampung jumlah kenderaan yang semakin bertambah saban tahun. Setiap hari kenderaan semakin bertambah sedangkan jalan raya masih sempit dan lorongnya tidak bertambah. Ketidakseimbangan ini menjadikan punca utama kesesakan lalu lintas di bandar.

kenderaan sesak di bandar Kuala Lumpur pemandangan warga kota setiap hari

Selain itu, pertambahan pesat penduduk yang mendiami bandar juga menjadi punca kepada kesesakan lalu lintas. Penghijrahan penduduk dari kawasan luar bandar ke bandar menyebabkan lebih banyak kawasan di bandar dijadikan tempat tinggal seterusnya menghadkan kawasan untuk melebarkan jalan raya.

Lebih memburukkan keadaan apabila struktur jalan di pusat bandar yang jika dilihat dengan mata kasar sukar untuk dibesarkan kerana kebanyakannya berada rapat dengan kaki lima bangunan.

Kesesakan jalan raya ini menimbulkan pelbagai masalah kepada bandar dan juga penduduk. Salah satu masalah yang ketara adalah banyak masa yang terbuang di jalan raya.

Golongan yang bekerja terpaksa keluar dari rumah awal pagi dan pulang ke rumah lewat petang. Banyak masa yang sepatutnya dihabiskan di rumah bersama keluarga terbuang begitu sahaja. Selain pembaziran masa, ia menyebabkan tenaga kerja negara tidak produktif. Ini sekaligus merugikan negara dari segi ekonomi.

Selain itu, kesesakan jalan raya juga boleh menimbulkan ketegangan psikologi kerana para pengguna jalan raya terpaksa menghabiskan masa berjam-jam di jalan raya. Kajian yang dijalankan oleh pakar psikologi menunjukkan bahawa masyarakat bandar sering terdedah kepada masalah ketegangan akibat daripada kesesakan jalan raya, pencemaran alam sekitar dan bunyi bising.

Apabila lebih ramai orang cenderung menetap di pusat bandar, pendekatan baharu perlu dicari untuk menangani kesesakan lalu lintas. Pelan pembangunan akan datang terutamanya projek perumahan perlu dibina berdekatan dengan sistem transit sedia ada seperti LRT, Monorail dan MRT untuk menggalakkan penggunaan pengangkutan awam.

Di samping itu, pihak berkuasa juga perlu melarang kenderaan berat memasuki laluan utama dalam tempoh tertentu. Kenderaan berat perlu dibenarkan menggunakan laluan utama pada masa-masa yang tertentu sahaja untuk memastikan kelicinan lalu lintas pada waktu puncak seperti waktu pagi dan waktu malam.

Selain itu, kerajaan juga boleh mewujudkan bandar bebas kereta seperti yang dilakukan oleh negara Paris dalam usaha mengurangkan kesesakan lalu lintas terutamanya pada waktu puncak sekaligus mendidik masyarakat untuk menggunakan kenderaan awam. Oleh itu, untuk merealisasikan inisiatif seperti itu, kerajaan perlu mewujudkan hub pengangkutan awam yang efisyen untuk ke bandar-bandar utama.

Pengangkutan awam yang cekap dan menepati masa mampu menarik minat masyarakat menggunakannya

Fenomena kesesakan lalu lintas di bandar utama ini masih lagi tidak dapat diatasi malah saban hari menjadi semakin kronik akibat pertambahan kenderaan terutamanya pada waktu puncak. Oleh itu, apa yang lebih penting adalah kerajaan perlu memantapkan sistem pengangkutan awam agar dapat menarik minat masyarakat untuk menggunakannya. Pengangkutan awam yang menepati masa, pantas dan efisyen merupakan satu solusi yang dilihat amat berkesan untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here