Pelik sebenarnya dengan ‘trend-trend challenge’ dunia internet sekarang. Kebanyakannya melampaui batas pemikiran manusia. Jika sekadar ‘unbox challenge’ atau ‘falling star challenge’ mungkin kurang memberi risiko kepada individu yang melakukannya. Walau bagaimanapun pada hakikatnya, setiap ‘cabaran’ yang tular di media sosial itu agak ‘kurang beradab’ dengan nilai-nilai murni rakyat Malaysia.

Pasti kita tidak pernah terfikir bahawa ada cabaran yang memerlukan seseorang untuk menuang alkohol ke tubuh badan, sebelum membakar anggota badan itu dengan api. Mengarut bukan? Itu adalah ‘cabaran api’ atau ‘fire challenge’.

Fire Challenge yang tular di media sosial

Di Malaysia, ‘fire challenge’ mungkin masih lagi kurang menjadi ikutan. Tetapi berbeza pula di Michigan, Amerika Syarikat. Seorang budak lelaki berusia 12 tahun dilaporkan melecur tahap dua ketika menyahut cabaran itu.

Di Malaysia, pernah tular dengan video ‘tik tok’ dan ‘keke challenge’. Mengikut pada pandangan peribadi, kedua-dua cabaran ini bukan sahaja merbahaya seperti ‘keke challenge’ yang memerlukan individu itu menari di tengah jalan, sambil videonya dirakam oleh pemandu, bahkan ianya juga meruntuhkan akhlak dan nilai moral sesebuah masyarakat.

Perkara ini pernah disuarakan oleh seorang pendakwah yang beliau sangat terkesan apabila melihat seorang budak perempuan memarahi ayahnya kerana tidak merakam dengan betul semasa beliau melakukan cabaran ‘keke challenge’.

Jika diteliti, kebanyakan daripada individu yang ‘berani mati’ melakukan cabaran ini adalah daripada golongan muda. Mungkin faktor pengaruh dan tercabar dengan rakan yang menyebabkan mereka berani melakukan cabaran-cabaran mengarut ini.

Hakitkatnya cabaran ini langsung tidak mendatangkan sebarang keuntungan, melainkan individu yang terlibat hanya sekadar menjadi ‘trendsetter’ di kalangan pengguna media sosial yang mudah terpengaruh dengan cabaran-cabaran berisiko ini.

The Blue Whale Challenge yang telah mengorbankan lebih 100 nyawa

Salah satu cabaran yang telah mengorbankan lebih 100 nyawa iaitu ‘The Blue Whale Challenge’ . Dalam cabaran ini, peserta perlu melakukan semua cabaran yang telah diatur oleh pihak penganjur selama 50 hari. Namun pada cabaran terakhir, peserta perlu membunuh diri. Satu cabaran yang langsung tidak mendatangkan sebarang manfaat.

Secara jujurnya setiap cabaran yang tular di media sosial ini langsung tidak mendapat perhatian serius samada daripada pihak berkuasa, Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Pendidikan mahupun Kementerian Kesihatan. Sedangkan cabaran-cabaran ini walaupun tidak mendatangkan impak yang buruk kepada ekonomi negara, tetapi ianya memberi kesan negatif kepada sahsiah, nilai moral dan akhlak kepada golongan muda.

Apa yang lebih mengharukan jika ianya melibatkan risiko nyawa atau kecacatan kekal seperti yang berlaku di Los Angeles apabila seorang remaja hampir lumpuh kerana melakukan cabaran ‘keke challenge’.

Kerajaan perlu lakukan sesuatu seperti mengenakan denda atau mewujudkan satu akta baharu berkenaan dengan cabaran-cabaran berisiko ini. Pihak Kementerian Pendidikan atau Kementerian Belia dan Sukan juga mungkin boleh mengambil kesempatan ini dengan melakukan aktiviti cabaran baharu seperti ‘trash challenge’ dengan mengalakkan golongan muda untuk mengutip sampah di tempah awam.

Cabaran-cabaran yang tular ini datangnya seperti ‘ribut taufan’. Kagumnya hanya seketika, namun kesan akibat daripada ‘ribut’ itu yang berpanjangan dan menyusahkan banyak pihak.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here