Depresi bukanlah perkataan baharu di kalangan masyarakat kita namun tidak semua orang benar-benar sedar dan memahami apakah yang dimaksudkan dengan depresi. Depresi atau kemurungan merupakan salah satu penyakit mental akibat daripada perasaan sedih melampau. Selain itu, ia juga akan mengakibatkan seseorang itu berasa lemah, putus asa dan hilang keyakinan diri. Depresi juga akan memberi kesan kepada hubungan keluarga dan rakan-rakan.

Depresi boleh berlaku kepada sesiapa sahaja termasuklah kepada golongan remaja. Terdapat beberapa faktor yang boleh menyebabkan seseorang remaja itu mengalami depresi. Antara faktor yang menyumbang kepada depresi golongan remaja adalah seperti berada di dalam persekitaran keluarga yang tidak harmoni, menjadi mangsa buli, berhadapan dengan tekanan dalam pelajaran dan lain-lain.

Sementara itu, mungkin tidak ramai yang tahu bahawa sejak smartphone diperkenalkan, kes mental disorder anak muda juga turut meningkat. Media sosial juga bukanlah perkara asing kepada golongan remaja masa kini. Oleh itu, tanpa kita sedari ketaksuban segelintir remaja terhadap media sosial juga mampu menyumbang kepada depresi kerana mereka tidak menyedari dunia digital bukanlah dunia nyata.

Kes remaja bunuh diri akibat depresi semakin meningkat

Baru-baru ini, seorang remaja telah membuat keputusan untuk membunuh diri selepas membuat undian hidup atau mati di laman instagramnya dan mendapat sokongan untuk mati sebanyak 69 peratus. Ini telah membuktikan bahawa remaja masa kini sememangnya mudah terpengaruh dan tidak mampu berfikir secara waras apabila di dalam tekanan. Ketidakmatangan mereka dalam menangani situasi juga telah menyebabkan mereka mengalami depresi seterusnya mendorong mereka untuk mencederakan diri sendiri atau orang lain.

Berdasarkan kajian Kesihatan Mental Kebangsaan 2017, telah membuktikan sekurang-kurangnya satu daripada 10 anak muda atau 10 peratus daripada 5.5 juta belia di negara ini pernah terfikir untuk membunuh diri. Melihat kepada hasil kajian ini, ia bukanlah satu petanda yang baik kerana ia menunjukkan isu kesihatan mental di Malaysia khususnya dalam golongan remaja adalah serius.

Golongan remaja juga berpotensi untuk mengalami depresi

Oleh itu, kerajaan perlu mengambil langkah awal dalam mengawal dan mengurangkan gejala ini daripada berterusan. Dalam menangani gejala ini, masyarakat kita perlu diberikan pemahaman dan kesedaran mengenai depresi dengan lebih tepat. Selain itu, mereka juga perlu mengetahui apakah peranan mereka sekiranya berhadapan dengan individu yang mempunyai masalah depresi.

Sehubungan itu, Kementerian Kesihatan Malaysia boleh mengambil langkah awal dengan mengadakan kempen-kempen mengenai depresi di peringkat sekolah menengah dan universiti. Pendedahan ini sangat penting supaya sekiranya ia berlaku kepada mereka atau rakan, ia dapat dikesan dan dirawat dengan segera.

Selain itu, penyebaran info di media cetak dan media elektronik juga dilihat sebagai satu kaedah yang berkesan kerana remaja masa kini lebih gemar mendapatkan info di internet. Penyebaran info yang tepat oleh pakar-pakar dengan kerjasama di antara Kementerian Kesihatan Malaysia dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia juga merupakan satu inisiatif yang boleh dipertimbangkan oleh kerajaan.

Secara keseluruhannya, masyarakat kita sememangnya belum lagi benar-benar sedar dan memahami setakat manakah gejala depresi ini mampu memusnahkan hidup seseorang. Selain daripada pesakit, orang di sekeliling juga memainkan peranan yang penting dalam membantu pesakit depresi. Masyarakat perlu tahu bahawa depresi bukanlah sejenis penyakit gila seperti yang diwar-warkan oleh sesetengah pihak. Depresi mampu dirawat sekiranya ia dapat dikesan dengan lebih awal.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here