Gelandangan bukanlah satu fenomena yang baru di negara kita, namun sejak kebelakangan ini ia telah menjadi satu masalah sosial yang semakin berleluasa kerana keadaan hidup golongan ini mendedahkan mereka kepada pelbagai gejala sosial yang mendatangkan kesan kepada semua lapisan masyarakat. Walau bagaimanapun, adalah tidak wajar untuk menyalahkan mereka hidup sedemikian kerana jika difikirkan secara logik, tidak ada seorang pun manusia yang berfikiran waras mahu menjalani kehidupan yang tidak menentu dan penuh kesengsaraan jika mereka mempunyai pilihan yang lebih baik.

Faktor-faktor yang menyebabkan masalah gelandangan semakin meningkat antaranya adalah peningkatan kos sara hidup, kemiskinan, hidup sebatang kara, masalah keluarga dan penagih dadah. Hidup di kota raya tidak seindah yang dikhabarkan kerana kos sara hidup di bandar besar lebih tinggi berbanding kehidupan di kampung. Pekerjaan yang tidak menentu menyebabkan mereka sukar untuk membiayai kehidupan mereka di kota raya yang kos saraanya lebih tinggi, tambahan pula mereka terpaksa menyewa rumah, membayar cukai kenderaan, bil air, elektrik dan sebagainya menjadikan perbelanjaan mereka bertambah tetapi pendapatan yang diperolehi tidak mencukupi.

Masalah gelandangan ini telah menyumbang terhadap masalah kebersihan di Kuala Lumpur khususnya lokasi-lokasi tumpuan pelancong. Mereka tidur di tempat-tempat yang tidak sesuai di sekitar bandaraya Kuala Lumpur dalam persekitaran yang tidak bersih dan terdedah kepada penyakit berjangkit. Malah, golongan gelandangan ini kebanyakannya terdiri daripada golongan yang meminta sedekah di hadapan kompleks membeli belah, pusat perniagaan, tepi-tepi jalan dan sebagainya. Perkara ini bukan sahaja menyumbang kepada masalah kebersihan, malah turut menyumbang pelbagai masalah lain seperti sosial, keselamatan dan menjejaskan imej Kuala Lumpur dengan pandangan yang kurang elok jika dilihat oleh pelancong.

Gelandangan di sekitar Kuala Lumpur menjejaskan reputasi dan mencemarkan imej negara

Dalam usaha menangani isu gelandangan ini terdapat beberapa langkah boleh dilaksanakan antaranya menubuhkan pusat pertubuhan bukan kerajaan seperti Rich Organization yang memperjuangkan isu gelandangan (homeless). Satu jawatankuasa khas perlu diwujudkan bagi menangani isu golongan gelandangan dalam usaha membanteras masalah individu berpeleseran di negara ini melalui pendekatan yang terbaik. Malahan kerajaan juga seharusnya menubuhkan sebuah pusat Sehenti yang bertujuan membantu golongan ini dengan memberikan perlindungan sementara sehingga mereka mampu berdikari.

Langkah seterusnya, pihak kerajaan perlu bekerjasama dengan pihak swasta menyediakan tempat penginapan sementara kepada golongan gelandangan ini. Walaupun tindakan ini penyelesaian jangka pendek, namun sekurang-kurangnya ia mampu menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh golongan gelandangan ini.

Pihak NGO turun padang memberi bantuan makanan kepada golongan gelandangan

Pihak kerajaan juga bertanggungjawab menyediakan peluang pekerjaan yang sesuai kepada golongan gelandangan ini. Sebahagian besar golongan ini tidak memiliki kelulusan dan kemahiran yang tinggi. Kerajaan boleh menghadkan pengambilan pekerja asing untuk mengisi kekosongan dalam sektor yang memerlukan tenaga buruh kasar. Sesuai dengan kelulusan yang ada, golongan gelandangan ini berupaya mengisi kekosongan yang ada seterusnya membaiki taraf kehidupan mereka ke arah yang lebih baik.

Selain itu, tindakan penguatkuasaan undang-undang perlu dilaksanakan di mana pihak berkuasa perlu membuat rondaan di tempat yang menjadi tumpuan golongan gelandangan. Sekiranya perlu, pihak berkuasa boleh menahan dan menempatkan mereka di tempat yang selamat. Pihak berkuasa juga boleh mengenakan tindakan undang-undang terhadap waris yang mengabaikan ahli keluarga mereka. Tindakan tegas dan berterusan ini berupaya mengurangkan masalah kewujudan golongan gelandangan di negara kita.

Apa yang pasti masalah perlu ditangani dengan segera kerana sekiranya masalah ini berlarutan akan mencemarkan industri pelancongan negara dan menjejaskan pertumbuhan ekonomi negara daripada berkembang dengan pesat. Pihak kerajaan perlulah menggembleng tenaga bersama-sama dengan pihak swasta dan masyarakat dalam menangani masalah ini agar ia tidak menjadi lebih kritikal pada masa akan datang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here